Friday, July 17, 2009

Wanita Paling Anggun di Dunia

Ini buku kegemaran saya yang penuh dengan motivasi dan kata-kata semangat. Coretan di bawah saya ambil dari buku JANGAN BERSEDIH- JADILAH WANITA YANG PALING BAHAGIA oleh Dr 'Aidh b 'Abdullah Al-Qarni.

Wahai wanita-wanita cantik dan jelita di luar sana, bacalah buku ini untuk mendapat kebahagian dunia dan akhirat...Insya Allah.


"Di setiap tempat, pasti anda temukan kegelapan dalam kehidupan anda.
Kewajipan anda hanyalah menyalakan lampu untuk menerangi anda sendiri."

Anda dengan kecantikan yang anda miliki, ternyata lebih cantik dari matahari. Dengan akhlak anda, anda lebih harum dari minyak wangi. Dengan sikap tawadhu' anda, anda lebih tinggi purnama. Dan dengan cinta anda, anda lebih segar dari rintik gerimis. Oleh kerana itu, peliharalah kecantikan anda dengan keimanan, keredhaan dengan kepuasan dan kehormatan dengan hijab yang menutup aurat.

Ketahuilah bahawa perhiasanmu bukanlah emas atau
perak, tetapi dua raka'at menjelang Subuh, dahagamu di tengah hari yang panas kerana puasa, derma yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh Allah, air mata taubat, sujud panjang di atas hamparan sejadah, dan malu kepada Allah kerana terdorong bisikan nista dan ajakan syaitan.

Jadikan taqwa ini bak pakaian anda, nescaya anda akan menjadi wanita yang tercantik di dunia meskipun pakaian bertampal. Jadikanlah rasa malu sebagai baju kurung anda, nescaya anda menjadi wanita yang paling anggun di dunia meskipun anda tidak berkasut. Hindarilah oleh anda rutin hidup seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita fasiq dan non muslim yang suka memperlihatkan daya tariknya untuk memikat lawan jenis dan menjadikan tubuhnya sebagai komoditi kaum lelaki tanpa mengendahkan norma-norma susila, kerana sesungguhnya mereka adalah bahan bakar neraka jahanam.









Sunday, July 12, 2009

Kedai Makan Railway Corner

Bila sebut sahaja Tanjung Rambutan terus terlintas di fikiran 'Hospital Bahagia' hospital untuk pesakit mental yang agak terkenal di Malaysia. Tetapi tahukah anda di sini ada satu kedai makan yang terletak di dalam stesyen kereta api? Nama tempat ini Kedai Makan Railway Corner. Mungkin pada sesetengah orang tempat ini biasa saja, tetapi pada saya tempat ini cukup istimewa.

Tempat ini menyimpan sejarahnya sendiri kerana stesyen kereta api ini sudah lama didirikan. Zaman British kot? Struktur bangunan adalah daripada kayu dan mungkin menarik buat pelajar Architecture untuk buat kajian.

Makanan yang disajikan di sini ialah roti canai, nasi lemak, kue teow kari dan lain-lain. Yang seronoknya masa makan boleh tengok keretapi yang lalu. Walaupun sudah berpuluh kali sarapan pagi di sini, saya dan anak-anak masih kagum dan teruja setiap kali keretapi lalu. Excitednya bukan main lagi...maklumlah bukan selalu dapat tengok keretapi. Saya pasti akan merindui tempat ini bila kami pulang ke KL semula hujung tahun ini. Agak-agaknya di KL tu di mana saya boleh dapat sumber inspirasi untuk menulis?

Itu sahaja buat kali ini. Saya sibuk sangat sekarang. Tarikh penyerahan manuskrip novel awal remaja terbaru telah diawalkan. Kena pulun tulis habis-habisan kerana ada projek lebih besar yang sedang menunggu...

Monday, July 6, 2009

Durian kucing duduk???

Semasa saya sedang berseminar ebook di Kuala Lumpur, abah dan emak saya bergegas ke dusun buah-buahan mereka di Hulu Langat, Selangor. Perjalanan dari rumah mereka ke dusun itu jauhlah juga, lebih kurang 70km tetapi memandangkan anak mereka yang merantau ni pulang bercuti sekejap, mereka menguatkan diri merempuh perjalanan yang jauh itu.....

Dengan izin Allah Taala sebaik sahaja ibubapa saya tiba di dusun , gugurlah buah durian kucing duduk ni. Syukur Alhamdulillah, rezeki saya agaknya. Dalam TV pernah disiarkan tentang durian ini, namanya Durian Gergasi (Wow!! Giant!!). Tapi durian ini memang besar. Bentuknya macam buah labu yang besar. Saya belek-belek juga kenapa ia dipanggil kucing duduk. Terfikir juga hendak ambil kucing di rumah mak dan letakkan di sebelah durian itu...untuk buat perbandingan. Tapi kucing itu tak ada di rumah masa itu, pergi 'clubbing' agaknya. Yang pasti durian ini boleh 'duduk' sendiri tanpa bantuan. Berikut adalah gaya-gaya menarik yang sempat diberikan oleh durian itu kepada saya.








Sunday, July 5, 2009

Seminar Ebook BEST...

Saya telah menghadiri Seminar Ebook yang dikelolakan oleh Encik Mohd Suhaimy atau lebih dikenali sebagai Shuth di alam cyber. Seminar diadakan di Quality Hotel Kuala Lumpur. Saya buat pusingan dua kali di Jalan Raja Laut untuk cari hotel ini. Kali kedua pusing, berhenti sekejap tanya En Sapu Sampah di mana Quality Hotel. Terima kasih En Sapu Sampah...kalau dia tak tolong, saya mungkin sampai lewat! Kalau dia tak tolong lagi, Jalan Tuanku Abdul Rahman tu mesti banyak sampah yang tidak dibersihkan.

Memang tak rugi dan amat berbaloi saya menghadiri seminar ini. Hilang penat saya memandu dari Ipoh ke KL. Banyak ilmu yang saya dapat dari Encik Shuth yang tidak kedekut ilmu dan sanggup berkongs
i banyak perkara dengan kami yang hadir. Saya juga dapat beberapa orang kenalan baru iaitu Ila, Su dan Ni'sa. Semuanya adik-adik kat situ...(Argg...I feel so old), well never mind, Ann. People do get old. At least it's better than getting younger and younger. Nanti susah pula. Betul tak?

Dan yang paling BEST,
surprise yang En Shuth janjikan di akhir seminar itu. Pada seseorang yang minat menulis seperti saya surprise yang diberikan umpama pucuk dicita, ulam mendatang. Nak tahu apa surprisenya? Datanglah sendiri ke seminar ebook tu. Klik sebelah ini saja untuk maklumat lanjut.

Wednesday, July 1, 2009

Sebelum dipanggil pulang..


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:


Jika manusia mati, maka akan terputus amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepadanya.


Kematian pasti akan tiba. Kematian akan menjemput setiap makhluk bernyawa yang menghuni bumi ini. Yang kaya dan berharta serta yang miskin papa kedana pasti akan mati. Walau kita kaya raya dan berharta apabila kita meninggalkan dunia ini cuma ada tiga perkara sahaja yang boleh kita bawa bersama ke alam barzakh iaitu:


sedekah jariah

ilmu yang bermanfaat

doa anak yang soleh


Perbanyakkanlah melakukan ketiga-tiga perkara di atas. Gunakan kesempatan bersedekah ketika Allah Taala melimpahkan rezeki yang tidak putus-putus kepada kita. Jangan lupa akan insan lain yang mungkin tidak semewah kita. Bersedekahlah untuk bekalan di hari akhirat. Ada golongan umat Islam yang sanggup mengeluarkan ratusan ringgit untuk menyaksikan konsert artis pujaan tetapi tatkala diminta bersedekah, tangan itu cukup berat untuk mengeluarkan walaupun sepuluh ringgit. Dan bersedekah tidak semestinya ketika kita mewah sahaja, ketika kesempitan wang pun kita harus bersedekah. Yakinlah, Allah Taala pasti akan melipatkali gandakan rezeki kita setiap kali kita bersedekah.


Setiap ilmu bermanfaat yang kita turunkan kepada sesiapa sahaja dapat membantu kita di alam barzakh nanti. Inilah antara sebab yang kukuh mengapa saya memilih untuk menghasilkan novel remaja berbentuk Islami. Niat saya agar remaja-remaja yang membaca novel saya akan memanfaatkan ilmu yang saya selitkan dalam novel tersebut. Dan perkara ini jugalah yang mendorong saya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan.


Doa anak yang soleh juga dapat membantu kita nanti. Didiklah anak-anak agar sentiasa melaksanakan suruhan Allah Taala dan meninggalkan larangannya. Ajar anak-anak cintakan akhirat dan jangan dedahkan mereka kepada hiburan dunia yang melekakan dan tiada batasan.


Marilah kita bersama-sama berusaha mencukupkan bekalan untuk dibawa pulang ketika Allah Taala menjemput kita pulang semula ke tempat asal...