Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:
Jika manusia mati, maka akan terputus amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepadanya.
Kematian pasti akan tiba. Kematian akan menjemput setiap makhluk bernyawa yang menghuni bumi ini. Yang kaya dan berharta serta yang miskin papa kedana pasti akan mati. Walau kita kaya raya dan berharta apabila kita meninggalkan dunia ini cuma ada tiga perkara sahaja yang boleh kita bawa bersama ke alam barzakh iaitu:
sedekah jariah
ilmu yang bermanfaat
doa anak yang soleh
Perbanyakkanlah melakukan ketiga-tiga perkara di atas. Gunakan kesempatan bersedekah ketika Allah Taala melimpahkan rezeki yang tidak putus-putus kepada kita. Jangan lupa akan insan lain yang mungkin tidak semewah kita. Bersedekahlah untuk bekalan di hari akhirat. Ada golongan umat Islam yang sanggup mengeluarkan ratusan ringgit untuk menyaksikan konsert artis pujaan tetapi tatkala diminta bersedekah, tangan itu cukup berat untuk mengeluarkan walaupun sepuluh ringgit. Dan bersedekah tidak semestinya ketika kita mewah sahaja, ketika kesempitan wang pun kita harus bersedekah. Yakinlah, Allah Taala pasti akan melipatkali gandakan rezeki kita setiap kali kita bersedekah.
Setiap ilmu bermanfaat yang kita turunkan kepada sesiapa sahaja dapat membantu kita di alam barzakh nanti. Inilah antara sebab yang kukuh mengapa saya memilih untuk menghasilkan novel remaja berbentuk Islami. Niat saya agar remaja-remaja yang membaca novel saya akan memanfaatkan ilmu yang saya selitkan dalam novel tersebut. Dan perkara ini jugalah yang mendorong saya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan.
Doa anak yang soleh juga dapat membantu kita nanti. Didiklah anak-anak agar sentiasa melaksanakan suruhan Allah Taala dan meninggalkan larangannya. Ajar anak-anak cintakan akhirat dan jangan dedahkan mereka kepada hiburan dunia yang melekakan dan tiada batasan.
Marilah kita bersama-sama berusaha mencukupkan bekalan untuk dibawa pulang ketika Allah Taala menjemput kita pulang semula ke tempat asal...
No comments:
Post a Comment