Sunday, January 31, 2010

wanita dan wangian


Anda suka minyak wangi? Saya pun suka. Malah setiap kali hari lahir saya, suami selalunya membelikan saya minyak wangi. Contohnya seperti minyak wangi yang di sebelah sana. CK eternity...mmmm semerbak baunya. Itu hadiah hari lahir saya yang ke 38. Ishh...dah tua, kan? Saya jarang merahsiakan usia saya. Kenapa perlu berahsia? Malukah? Malu kerana usia semakin tua? Anda tidak perlu rasa malu dengan usia anda, buang masa saja. Maka kalau usia sudah dekat-dekat 40 tu, sedar-sedarkanlah diri, tingkatkan amal ibadat. Hidup di dunia ini hanya sementara. Okay...stop!! Kita balik ke topik kita iaitu minyak wangi.

Saya suka minyak wangi...tapi untuk muslimah-muslimah yang anggun dan cantik di luar sana, seperti saya di sini, renung-renungkan mesej ini.

Rasulullah s.a.w amat keras memperingatkan wanita memakai wangian keluar dari rumah. Baginda bersabda:

"Mana-mana perempuan yang menggunakan wangian kemudian melalui satu kaum agar mereka mencium bau wanginya, maka dia seorang penzina."
Hadith riwayat Ahmad, 4/418: Sahihul Jami': 105

PENZINA....subhanallah, besar dosa seorang penzina selagi dia tidak bertaubat! Namun masih ramai wanita yang melalaikan dan meremehkan perkara ini. Kesimpulannya berhentilah dari memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah agar anda terpelihara dari dosa-dosa yang datang bersama wangian yang anda pakai itu. Sebaliknya, pakai saja minyak wangi anda yang mahal-mahal itu di rumah. Anda hendak sembur satu botol sampai habis pun tak mengapa.

Hadis di atas, saya petik dari buku Dosa-dosa yang dipandang ringan oleh Manusia - Muhammad Soleh Al- Munajjid.

Friday, January 15, 2010

Saiz penduduk neraka

Baru-baru ini, saya berkesempatan ke Perpustakaan Negara. Dah lama tak masuk perpustakaan, rasanya kali terakhir kira-kira lapan tahun lepas...iskk...teruknya saya ni! Jadi, jika anda hendak ke sana pada hari-hari biasa tempat parking kereta TIADA. Dalam kawasan perpustakaan, parking sentiasa penuh dan hanya untuk staf. Anda hanya boleh parking di dalam kawasan perpustakaan pada hari Sabtu dan Ahad sahaja.

Penyelesaian kepada masalah ini ialah anda boleh parking di kawasan parking Pusrawi, RM2 setiap jam atau di Wisma Sejarah, RM3 sahaja tanpa mengikut masa. Tetapi jika anda wanita yang memandu seorang diri, saya nasihatkan anda parking di Pusrawi sahaja, lebih selamat kerana tempat itu ada ramai pengunjung. Biar bayar lebih, janji selamat!

Selesai tugasan saya, saya berjalan-jalan melihat buku-buku dan seperti biasa rak-rak buku Agama seolah-olah mempunyai kuasa magnet yang besar terhadap diri ini. Ini petikan dari buku Gambaran Neraka dari Al-Quran dan Al-Hadis oleh Dr Abdullah Abdurrahman ash-Shumaimri.

Saiz Penduduk Neraka

Saiz penduduk Neraka akan ditambah. Tubuh mereka akan membesar supaya mereka akan lebih terdedah kepada siksaan.

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
" Gigi geraham seorang penduduk neraka atau gigi taring seorang penduduk Neraka sama seperti Bukit Uhud dan tebal kulitnya sama seperti tiga malam perjalanan."
(Muslim)

Abu Hurairah menceritakan Rasulullah s.a.w bersabda:
" Jarak di antara dua bahu penduduk Neraka sama seperti tiga hari perjalanan untuk seorang penunggang yang pantas."
(Muslim)

Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda:
"Sesungguhnya, tebal kulit seorang penduduk Neraka sama dengan panjang empat puluh dua lengan gergasi, gigi gerahamnya seperti Bukit Uhud dan tempat duduknya di neraka (jaraknya) di antara Mekah dan Madinah."

Subhanallah....mengerikan. Marilah kita bermuhasabah diri, perbaiki kelemahan dan merapatkan diri kepada Allah Taala sebelum terlewat.

Thursday, January 14, 2010

Biodata musuh kita

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Membaca biodata ini bukan untuk cinta kepadanya tetapi menyeru agar sama-sama membenci dan berhati-hati.

Biodata Musuh Kita

Nama: Iblis
Tempat kediaman: Hati yang lalai, tempat maksiat, tempat yang kotor
Keluarga: Jin, Syaitan dan Taghut
Tempat Kembali: Neraka Jahanam
Pangkat: Fasik darjah pertama
Agama: Kufur
Tugas: Professor dan pengarah bagi golongan yang menyesatkan hamba Allah
Kerja: Menyuruh kepada kemungkaran dan maksiat serta mencegah kebaikan
Tempoh khidmat: Hingga hari kiamat
Modal: Angan-angan
Majlis: Pasar-pasar
Tema kerja: Munafik penghulu akhlak
Keuntungan: Sia-sia seperti debu yang berterbangan
Pakaian: Pakaian yang tidak menutup aurat
Pasangan hidup: Orang yang berpakaian tetapi bertelanjang
Sahabat: Munafik
Sumber rezeki: Harta yang haram
Janji: Menjanjikan kefakiran dan kemiskinan
Cita-cita: Mengkafirkan semua manusia
Benda yang menyedihkan baginya: Banyak sujud kepada Allah
Makanan: Daging bangkai (mengumpat)

Dipetik dari JIN Hakikat dan Pengubatan oleh Dato' Haji Ismail Kamus

Sunday, January 10, 2010

Melangkah setapak lagi dalam penulisan


Syukur ke hadrat Illahi, kini saya melangkah setapak lagi dalam dunia penulisan.
Jumaat 8.1.2010 sekali lagi mencatat sejarah dalam dunia penulisan saya, dimana saya diterima sebagai salah seorang di antara tiga orang penulis untuk buku teks English Year One bagi tahun 2011.

Bagaimana saya terpilih? Sebenarnya pemilihan ini berkonsepkan pertandingan. Saya ke taklimat penulisan buku teks pada 21 November yang lalu. Di sana, kami diberi masa selama dua minggu bagi menghasilkan manuskrip contoh sebanyak 4 unit, 2 unit untuk buku teks dan dua lagi untuk buku latihan. Maka dalam tempoh yang diberikan itu, saya pun pulunlah menulis dan mengurangkan tidur saya yang sentiasa cukup 8 jam itu. Selepas siap, saya menghantar manuskrip-manuskrip tersebut ke DBP berserta berbakul-bakul doa...

Syukur sekali lagi, saya menerima panggilan (yang sentiasa dinanti-nantikan...nasib baik ada panggilan, kalau tak ada pasti frust menonggeng) menyatakan yang saya telah terpilih dan menjadi pemenang dalam 'pertandingan' ini yang turut disertai oleh ramai peserta. Esok saya akan ke DBP selama tiga hari bagi memulakan projek besar saya bagi tahun 2010. Dan novel saya yang kedua juga bakal menyusul pada tahun ini , begitu juga E-book saya yang pertama tetapi masih dalam pembikinan oleh En Shuth dari Wangcyber.com.

Thursday, January 7, 2010

Kita tidak kekal di dunia ini


Sekarang ini, saya sedang sibuk mengemas barang-barang untuk berpindah semula ke KL. Penat dan serik rasanya berpindah-randah. Namun apakan daya, perjalanan hidup saya sememangnya sudah diatur begini.

Rasa sedih hendak meninggalkan kawasan yang aman damai dan penuh ketenangan ini? Memang sedih, tetapi saya sering mengingatkan diri saya dan anak-anak bahawa kehidupan kami yang sering berpindah-randah ini umpama kehidupan kita di dunia ini. Tidak kekal dan bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil pulang. Jadi, pastikan kehidupan kita di satu-satu tempat itu dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan berfaedah.

Kesimpulannya, lakukan perkara-perkara yang elok, sentiasa mempertingkatkan amalan dan perbaiki kekurangan diri agar kita sentiasa bersedia serta mempunyai bekalan yang mencukupi jika dipanggil kembali ke tempat asal kita.