Tuesday, August 25, 2009

Puasa Sulung

Masih belum terlewat rasanya hendak mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK. Anggaplah Ramadhan kali ini Ramadhan yang terakhir buat kita. Gunakan segala peluang dan kesempatan yang ada untuk beramal ibadat dan mengumpul seberapa banyak pahala yang termampu.

Di atas ini gambar anak bongsu saya. Gambar dirakam beberapa saat sebaik selesai membaca 'doa buka puasa'. Ramadhan tahun ini mencatat sejarah istimewa kerana anak bongsu saya yang berusia enam tahun lapan bulan (tetapi sudah berada di Tahun Satu) mula belajar berpuasa. Beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan, dia sudah tidak sabar untuk berpuasa. Saya tidak pernah memaksa anak-anak saya berpuasa dan Alhamdulillah kesemua anak saya dengan rela hati akan berpuasa dengan sendirinya. Syukur pada Allah kerana memudahkan bab ini dalam proses saya membesarkan anak-anak berlandaskan lunas-lunas Islam.

Kami bangun bersahur lebih kurang pukul 4.45 pagi. Anak saya tidak mahu makan nasi, tetapi cukup setakat makan koko crunch dan susu saja. Ikut sayalah tu..saya pun tak makan nasi semasa bersahur. Saya makan bijirin jagung dan susu saja. Kalau makan nasi, bila siang nanti perut senak. Dan jangan risau, suami saya tak makan bijiran jagung atau koko crunch. Dia makan nasi seperti kebanyakan umat Islam yang lain.

Hari pertama Ramadhan kami pulang ke Lembah Kelang untuk berbuka bersama Abah, Mak, Abang dan Adik-adik. Sepanjang perjalanan, anak saya ni tidur sahaja. Kami bertolak lebih kurang pukul 7.30 pagi kerana saya ada taklimat di Galeri Ilmu, Kota Damansara.

Apabila tengahari, anak saya sudah mula tarik muka lapar dan dahaga. Saya tanya hendak buka atau tidak. Anak saya menggelengkan kepala. Dia meneruskan puasanya dalam keadaan yang lemah lagi lesu. Cuaca yang agak mendung hari pertama berpuasa ini banyak membantu. Jadi anak saya masih boleh bertahan. Apabila kembali ke sekolah nanti, tak tahulah macam mana pula. Mesti penat kerana anak-anak saya bersekolah agama dan kebangsaan. Tetapi tidak mengapa, 'Allah sayang dan nanti dapat pahala banyak'- ini modal saya memujuk anak-anak yang kadang-kala merungut kepenatan.

Lebih kurang pukul 6 petang, suami saya membawa anak-anak saya ke 7-11 berhampiran untuk membeli 'air minuman pilihan mereka'. Mereka tidak ke 'Pasar Ramadhan'. Sebab tidak ke sana ialah yang pertama- mengikut nasihat Kementerian Kesihatan agar elakkan dari berkunjung ke tempat yang sesak dan yang kedua- juadah berbuka puasa selalunya saya masak sendiri bagi mengelakkan keracunan makanan dan menjimatkan belanja. Air minuman berwarna-warni di Pasar Ramadhan pun jika boleh cuba elakkan kerana ini selalunya punca keracunan makanan. Kalau hendak beli pun, pastikan yang menjual itu penjual yang biasa berniaga di pasar malam.

Maka apabila azan berkumandang, berbukalah kami. Anak bongsu saya ini pun berbuka dengan gembira tetapi anak kedua saya pula tiba-tiba muka pucat sebaik sahaja habis minum air. Menggelabah saya dibuatnya. Abang terbaring di kerusi macam hendak pitam. Saya pegang badan dia dan suapkan buah kurma ke dalam mulutnya. Atuk dan nenek dia pun risau juga melihat cucu lelaki ini pucat. Selepas habis sebiji buah kurma, baru anak kedua saya (berusia 10 tahun) ini mula bermaya. Anak sulung saya tiada masalah kerana sudah biasa berpuasa ( berusia 12 tahun. Tahun ini UPSR dan saya yang terlebih risau).

Alhamdullilah saya bersyukur kerana kesemua anak saya berjaya berpuasa di hari pertama Ramadhan. Saya juga bersyukur kerana anak bongsu saya berjaya melengkapkan Puasa Sulungnya di usia yang muda. Ya Allah, terima kasih kerana membantu aku yang serba-serbi kekurangan ini dalam mendidik anak-anak. Selamat Menjalani ibadat berpuasa. Semoga kita semua mendapat keberkatannya. Insya Allah.


Wednesday, August 19, 2009

Minta diampunkan dosa kaum mukminin

Besar pahala yang kita dapat jika kita meminta diampunkan dosa seluruh kaum mukminin di mana sahaja mereka berada walaupun kita tidak kenal dan tidak tahu berapa jumlah mereka kesemuanya.

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Sesiapa yang meminta ampunkan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan, maka Allah menulis baginya untuk setiap orang mukmin dan mukminat satu kebaikan."

Biasanya kita meminta diampunkan dosa orang-orang yang kita kenal. Mungkin juga kita meminta diampunkan dosa seluruh kaum mukminin tetapi kita tidak tahu betapa besar ganjarannya.

Kalau kita meminta ampunkan dosa seluruh orang beriman, lelaki dan perempuan, maka kita mendapat satu kebaikan dari setiap orang yang kita doakan. Cuba bayangkan berapa jumlah orang beriman di dunia ini, sebanyak itulah kebaikan yang kita peroleh jika membaca doa satu kali secara umum.

Untuk mendapatkan ganjaran lebih besar, lebih baik kita doakan kaum mukminin yang masih hidup dan yang sudah mati. Ini doanya:

"Ya Allah, berilah ampun bagi seluruh kaum mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat, mereka yang hidup dan sudah mati. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Dekat, menerima doa dan memenuhi hajat."

Jalan Menuju Syurga Firdaus - Syahrin Jasah

Thursday, August 13, 2009

Surat dari Syaitan

Sakit hati bila membaca surat ini....

SURAT DARI SYAITAN

Aku melihatmu kelmarin, saat engkau memulai aktiviti harianmu.
Kau bangun tanpa sujud mengerjakan subuhmu.
Bahkan kemudian, kau juga tidak mengucapkan "Bismillah" sebelum memulai santapanmu,
juga tidak sempat mengerjakan solat Isyak sebelum berangkat ke tempat tidurmu.
Kau benar-benar orang yang bersyukur, Aku menyukainya.

Aku tak dapat mengungkapkan betapa senangnya aku melihatmu tidak mengubah cara hidupmu.

Hai Bodoh, Kamu milikku.
Ingat! Kau dan aku sudah bertahun-tahun bersama,
dan aku masih belum mampu mencintaimu.
Malah aku masih membencimu, kerana aku benci Allah.
Aku hanya menggunakanmu untuk membalas dendamku pada Allah.
Dia sudah mencampakkan aku dari syurga dan aku akan tetap
memanfaatkanmu sepanjang masa untuk membalasnya.
Kau lihat, ALLAH MENYAYANGIMU dan dia masih memiliki rencana-rencana untukmu di hari depan.

Tapi kau sudah menyerahkan hidupmu kepadaku,
dan aku akan membuat kehidupanmu seperti neraka.
Sehingga kita mampu bersama dua kali dan ini akan menyakiti hati Allah
Aku benar-benar berterima kasih padamu, kerana aku sudah menunjukkan kepadaNya
siapa yang menjadi pengatur dalam hidupmu dalam masa-masa yang kita jalani.

Kita menonton filem 'porno' bersama, memaki orang, mencuri, berbohong, munafik, makan sekenyang-kenyangnya, bergosip, menghakimi orang, menikam orang dari belakang, tidak hormat pada orang tua,
Tidak menghargai masjid, berperilaku buruk.
Tentunya kau tak ingin meninggalkan ini begitu sahaja.

Ayuhlah, hai Bodoh! Kita terbakar bersama selamanya.
Aku masih miliki rencana-rencana hangat untuk kita.
Ini hanya merupakan surat penghargaan untukmu.
Aku ingin mengucapkan TERIMA KASIH kerana sudah mengizinkanku memanfaatkan hampir semua masa hidupmu.

Kamu memang sangat mudah dibodohi, aku mentertawakanmu.
Saat kau tergoda berbuat dosa, kamu menghadiahkan tawa.
Dosa sudah mulai mewarnai hidupmu.
Kamu sudah 20 tahun lebih tua, dan sekarang aku perlu darah muda.
Jadi, pergi dan lanjutkanlah mengajar orang-orang muda bagaimana berbuat dosa.
Yang perlu kau lakukan adalah merokok, mabuk-mabuk, berbohong, berjudi, bergosip dan hiduplah se-ego mungkin.

Lakukan semua ini di depan anak-anak dan mereka akan menirunya.
Begitulah anak-anak.
Baiklah, aku persilakan kau bergerak sekarang.
Aku akan kembali beberapa detik lagi untuk menggodamu lagi.
Jika kau cukup cerdas, kau akan lari sembunyi dan bertaubat atas dosa-dosamu.
Dan hidup untuk Allah dengan sisi umurmu yang tinggal sedikit.
Memperingati orang bukan tabiatku, tapi usiamu sekarang dan tetap melakukan dosa, sepertinya memang agak aneh.

Jangan salah faham, aku masih tetap membencimu.
Hanya saja kau harus menjadi orang tolol yang lebih baik di mata Allah.

**Wahai umat Islam semua, mari kita perangi habis-habisan segala hasutan syaitan dan sujud hanya kepada Allah.
Saya tidak tahu siapa penulis karya ini. Karya ini mampu memberi kesedaran kepada kita untuk membenci Syaitan dan kaum kerabatnya.


Tuesday, August 11, 2009

Berita Gembira Buat Orang-orang Yang Beriman

Rumah sederhana dengan iman, bukan istana dengan sikap melampaui batas.

Sesungguhnya seorang wanita yang tinggal di sebuah pondok beribadah kepada Tuhannya, mendirikan solat lima waktu, dan berpuasa di bulan Ramadhan, merupakan wanita yang paling berbahagia dari wanita yang tinggal di dalam istana sambil dikelilingi dayang-dayang, serta dimeriahkan dengan pesta yang dipenuhi dengan hidangan.

Sesungguhnya, seorang mukminah yang berada di sebuah rumah beratap rumbia, dengan roti dan gandum, air dari teko, namun bersamanya ada mushaf dan tasbih adalah lebih bahagia dari wanita yang hidup di apartmen yang tinggi dengan bilik-bilik mewah, namun dia tidak mengenal Tuhannya, tidak berzikir mengingatiNya dan tidak mengikut sunnah RasulNya.

Sesungguhnya fahamlah anda makna kebahagiaan. Kebahagiaan bukan dalam definisi yang sempit dan menyesatkan. Ramai orang menyangka bahawa apa yang difikirkannya adalah benar. Mereka mengira bahawa kebahagiaan adalah dolar, dinar, dirham, rial, katil yang empuk, pakaian yang indah, makanan yang enak, minuman yang lazat dan kenderaan yang mewah. Tidak!

Sesungguhnya kebahagiaan yang hakiki terletak pada kepuasan hati, kesenangan perasaan, ketenangan jiwa, kegembiraan rohani, kelapangan dada, budi pekerti yang baik, akhlak mulia yang diiringi dengan sifat menerima dan merasa cukup dengan anugerah yang diberikan.

Jangan bersedih- Jadilah wanita yang paling bahagia -Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni

Monday, August 10, 2009

Kunjungan ke Yayasan Amanah An Nur Maisarah

Yayasan An-Nur Maisarah
Dr Fazillah Nordin


Anak bongsu saya posing tepi tupai

Semalam saya ke Yayasan Amanah An Nur Maisarah di Chemor, Perak. Tujuan ke sana adalah untuk "RAHSIA" di samping mendedahkan kepada anak-anak saya tentang kehidupan anak-anak yatim tanpa ibu bapa di sisi mereka. Sengaja saya membawa anak-anak ke sini agar mereka bersyukur dengan apa yang mereka ada dan sedar yang ada anak-anak lain di luar sana yang memerlukan bantuan.

Yayasan tersebut berada dalam kawasan seluas 5 ekar. Ketika ini Yayasan sedang meratakan kawasan kebun getah berhampiran untuk menanam limau manis dan pisang emas.

Saya berkesempatan bertemu dengan salah seorang pemegang amanah di sini iaitu Dr Fazillah Nordin atau lebih mesra dengan panggilan 'Ibu'. Menurut Ibu, ketika ini terdapat 37 orang anak-anak yatim yang menginap di Yayasan ini dan ada di antara mereka sedang melanjutkan pelajaran di Universiti. Dan penghuni yang paling kecil ialah seorang bayi berusia 6 bulan. Anak-anak ini dibenarkan tinggal di sini sehingga mereka berumahtangga. Mereka hanya dibenarkan pulang ke kampung halaman selama 10 hari sahaja dalam setahun. Namun waris-waris mereka dibenarkan melawat pada bila-bila masa.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang ke yayasan ini, anda boleh salurkan sumbangan anda kepada: YAYASAN AMANAH AN-NUR MAISARAH
NO AKAUN CIMB: 08160000023108

Marilah kita bersama-sama membeli saham untuk akhirat...Insya Allah.

Wednesday, August 5, 2009

Zalimkah saya?

Menonton televisyen lebih banyak memberi kesan yang negatif terhadap kanak-kanak. Bincangkan.

Pernah tulis karangan bertajuk di atas, masa zaman sekolah dulu (dulu-dulu...dah tuanya diri ini.)? Kita semua maklum yang televisyen membawa lebih banyak kesan negatif dari positif. Tetapi berapa ramai di atas kita yang sanggup berpisah dengan peti televisyen itu?

Kita selalu bising bila anak-anak asyik menonton televisyen dan tidak membuat kerja rumah. Dan kita juga akan bising bila anak-anak melewatkan solat kerana sibuk menonton kartun kegemaran mereka. Dan kita akan jadi bertambah bising dan marah, bila anak-anak langsung tidak mendengar kata kerana lebih suka mendengar nyanyian kartun-kartun dalam televisyen itu. Namun, cukupkah sekadar berleter pada anak-anak tanpa berbuat sesuatu terhadap peti televisyen di ruang tamu rumah kita?

Percaya atau tidak, saya telah melakukan sesuatu yang drastik terhadap anak-anak saya dan peti televisyen di rumah saya ini. Sejak bulan Jun yang lalu, anak-anak saya hanya dibenarkan menonton televisyen mulai hari Jumaat malam sehingga hari Ahad petang. Ketika peringkat awal saya dan suami menguatkuasakan undang-undang ini, anak-anak kami (berumur 7, 10 dan 12 tahun) marah-marah, hentak-hentak kaki dan menarik muka masam yang melampau, namun sekarang mereka sudah biasa hidup tanpa dikuasai oleh televisyen. Allah Taala memudahkan lagi urusan kerana saya yakin saya melakukan perkara yang baik...Syukur Alhamdulillah.

Banyak kesan-kesan positif yang saya terima daripada tindakan saya ini. Antaranya:
1. anak-anak saya lebih mudah mendengar kata.
2. jadual mereka selepas pulang dari sekolah lebih terurus.
3. kerja rumah mereka siap tepat pada waktunya.

Pendek kata, saya lebih mudah menguruskan kehidupan mereka tanpa gangguan/tarikan/pengaruh televisyen.

Bagaimana saya mampu melaksanakan undang-undang ini?
Senang sahaja, cabut kad Astro tu dan sorokkan di tempat selamat. Peringkat awal, bersedialah dengan reaksi anak-anak tapi sebagai ibubapa kita harus tegas, tegas dan TEGAS.

Namun ada sesetengah pihak yang kurang setuju dengan tindakan saya ini. Ada yang kata, "kasihan anak-anak tidak dapat tengok TV". Tetapi saya pekakkan telinga. Apa yang penting ialah saya lakukan semua ini untuk kebaikan anak-anak saya. Zalimkah saya??