Tuesday, December 22, 2009

Hobi saya MEMBACA....

Tengahari tadi saya ke POPULAR bookstore lagi. Beli buku lagi....rasanya saya lebih kerap beli buku dari beli pakaian...pelik tak? Rasanya, wanita-wanita seperti saya selalunya lebih suka membeli pakaian, kasut, beg dan seumpama dengannya. Saya pun suka beli baju tetapi sejak kebelakangan ni suka sangat beli buku...Agaknya dah tua kot...

Saya beli buku FAHAMILAH PERASAANKU- 30 LUAHAN PERASAAN SUAMI oleh Dato' Dr Hasan Ali....entah macamana boleh terbeli buku ini. Mungkin ada hikmahnya....Di bawah ini saya kongsikan sedikit informasi untuk dikongsi bersama.

LUAHAN 6 - "Isteriku, hiasilah dirimu" (saja saya pilih part ni....sebenarnya untuk memberi kesedaran pada diri saya yang semakin tua ni...hihi)

Wanita adalah penghibur kepada suaminya. Isteri yang menghias diri dan sentiasa kelihatan menarik adalah daya asas yang dapat menjernihkan fikiran perasaan suaminya.

Tips 6- Panduan Menghias Diri

1. Menjaga kesihatan fizikal dan mental. (Insya Allah, boleh buat...)

2. Melakukan senaman dan riadah. (sikit malas nak buat)

3. Memperbanyakkan ibadah. (Insya Allah, boleh dibanyakkan...Amin)

4. Menghias diri dengan akhlak yang mulia. (Insya Allah, boleh buat...)

5. Mengawal timbangan berat badan. (HUARRGGG!!!! INI TAK BOLEH BUAT)

6. Pastikan fikiran sentiasa tenang dan positif bagi memancarkan keceriaan pada wajah. (Insya Allah, saya sentiasa positif dan tenang)

7. Dapatkan tidur dan rehat yang sempurna. (Tidur memang cukup, kadang-kadang terlebih tidur)

8. Sentiasa membersihkan diri. (Hari-hari saya mandi, jadi diri sentiasa bersih)

9. Mengubah tabiat makam dan menu harian. Pastikan menu makanan harian yang diambil adalah seimbang dan berzat. (Insya Allah, boleh diusahakan)

***Luahan hati saya

Jadi kepada isteri-isteri di luar sana inilah di antara luahan suami-suami...

Wednesday, December 16, 2009

Syurga pun ikut berdoa

Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila seorang muslim meminta kepada Allah supaya masuk syurga, tiga kali, maka syurga berkata: "Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga." Apabila dia meminta supaya dia dijauhkan daripada neraka, tiga kali, maka neraka pun berkata:"Ya Allah, jauhkan dia daripadaku."

Semua manusia hendak masuk syurga, tiada seorang pun yang hendak masuk neraka. Saya ada terbaca tentang betapa dahsyatnya kepanasan api neraka yang mengatakan jika pintunya dibuka sebesar lubang jarum, akan hancur terbakar bumi ini sehingga menjadi debu. Subhanallah...janganlah dijadikan neraka persinggahan terakhir kita.

Keterangan hadis di bawah ini ialah dari buku "JALAN MENUJU SYURGA FIRDAUS-siri 4 (Syahrin Jasah):

Kalau kita memohon kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam syurga, mungkin Allah kabulkan permintaan kita dan syurga itu pun sebenarnya ikut berdoa. Syurga juga menginginkan supaya kita ikut menjadi penghuninya.

Kalau kita berdoa supaya dijauhkan daripada neraka, neraka juga akan turut berdoa supaya kita dijauhkan daripadanya. Neraka itu juga menginginkan supaya kita terselamat dan dijauhkan daripadanya.

"Ya Allah, masukkan kami ke dalam syurga."
"Ya Allah, jauhkanlah kami daripada neraka."

Thursday, December 10, 2009

Menutup aurat hanya budaya???


Menutup aurat hanya budaya?

Tidak? Ya? Ya...menutup aurat hanya budaya...budaya songsang!!

Baru-baru ini saya menonton program "Oprah Winfrey Show" yang akan berakhir penyiarannya pada 2011, tidak pasti pula mengapa. Saya tidak sempat hendak membaca berita tentangnya di Yahoo! News beberapa minggu yang lepas. Saya suka menonton program ini kerana kadang-kala isu yang dibincangkan menarik.

Isu yang saya tonton baru-baru ini agak menarik juga, di mana Oprah telah menemuramah beberapa orang wanita dari beberapa buah negara untuk berkongsi tentang bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian mereka. Dan yang paling menarik ialah tentang seorang wanita Arab beragama Islam yang tinggal di UAE. Siapa yang tidak kenal dengan negara UAE itu?

UAE ialah sebuah negara yang masih muda. Pembangunannya hanya bermula pada tahun 1972. Menurut seorang Pak Arab, kenalan suami saya semasa kami berada di China dulu menceritakan yang asalnya sumber pendapatan mereka ialah mencari mutiara di dasar laut. Selepas penemuan minyak, barulah UAE mula membangun. Selepas itu, penduduknya menjadi kaya-raya.

Di UAE juga, pemuda-pemudinya tidak 'teringin' pun hendak berkahwin dengan warga asing (tidak seperti sesetengah artis Malaysia dan wanita Malaysia yang terkejar-kejarkan Mat-Mat Saleh, hinggakan Mat Saleh kerja pam minyak pun disapunya janji Mat Saleh...isk! isk! lawaklah). Golongan muda di UAE yang berkahwin sesama mereka, akan menerima sebuah kereta dan sebuah rumah sebagai 'hadiah perkahwinan' dari kerajaan UAE. Hebatkan?? Di sana tiada cukai pendapatan dan kos perubatan juga ditanggung oleh kerajaan mereka. Bestnya! Kalau dapat tinggal di sana.

Berbalik pada wanita dari UAE ini, dia seorang doktor. Penampilannya moden, tidak bertudung, berambut perang, kuku diwarnakan dan memakai baju ala-ala Punjabi suit (mungkin baju tradisional mereka, saya kurang pasti). Dia tinggal bersebelahan dengan rumah mak mentua dan abang suaminya. Wanita ini tidak pernah masak kerana mak mentuanya ada seorang tukang masak yang akan memasak untuk semua ahli keluarganya. Wanita ini akan menerima sekurang-kurangnya tiga jenis hidangan untuk satu hari. Best lagi!

Kemudian wanita ini keluar dari rumah beliau dan menunjukkan rumahnya dari luar. Beliau turut menunjukkan rumah mak mentua dan abang suaminya. Masya Allah!! Besarnya setiap rumah-rumah yang ditunjukkan!! Dapur mak mentuanya macam dapur di hotel-hotel, maklumlah sudah ada 'chef' tentulah dapurnya macam dapur di hotel.

Semasa berada di sana, mak mentua wanita ini dan beberapa orang ahli keluarga sedang makan tengahari. Dalam ramai-ramai wanita di situ, hanya mak mentua wanita itu sahaja yang memakai tudung dan berjubah hitam. Dan apabila melihat wanita ini, Oprah telah bertanya siapa dia? Kenapa dia bertudung dan awak tidak bertudung?

Ini jawapan wanita Arab itu, mak mentuanya berumur antara 50 - 60 tahun dan hanya wanita dalam lingkungan umur itu sahaja yang bertudung. Wanita-wanita muda dan moden seperti dirinya sudah tidak lagi memakai tudung kerana memakai tudung (menutup aurat) hanyalah budaya...IT'S JUST A CULTURE katanya. Subhanallah....kata saya. Ini yang tak best ni!! Apa sudah jadi? Selepas itu, Oprah pun kata 'Now, I understand.' Ya...understand yang wanita-wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat hanyalah mengikut adat dan budaya. Maka, semua yang menonton program pada waktu itu sudah menerima maklumat yang salah. Sedih betul!!!

Kesimpulannya "Menutup aurat a.k.a bertudung itu wajib bagi wanita-wanita Islam dan bukannya hanya sekadar BUDAYA atau ADAT".....

Tuesday, October 20, 2009

Burasak - lagi sedap dari ketupat




Gambar apa tu?

Itulah 'burasak' makanan istimewa hari raya bagi mereka yang berbangsa Bugis. Sedap tau!. Bila dah makan burasak ni, saya memang dah tak pandang ketupat lagi.

Burasak ini rasanya macam nasi lemak yang telah dihimpit menjadi ala-ala nasi impit. Rasanya lemak-lemak dan enak dimakan dengan serunding kelapa, kuah kacang, rendang daging dan lain-lain.

Cara memasaknya ialah masak nasi lemak tapi jangan letak banyak sangat santan. Kemudian setelah masak, bungkus dalam daun pisang macam dalam gambar. Bentukkan leper bentuk empat segi panjang (macam dalam gambar juga). Kemudian bungkus lagi dalam daun pisang. Kesimpulannya perlu ada stok daun pisang yang banyak. Selepas itu kukus semula seperti kukus ketupat selama 4 -5 jam. Bila dah masak, boleh lah makan...mmmm...enak sekali.

Monday, September 7, 2009

Bercuti sebentar

Di bulan puasa ni, saya sibuk sangat. Banyak tugas dan urusan yang perlu diselesaikan. Maka dengan ini saya meluluskan diri saya sendiri untuk bercuti sebentar dari blogging. Jangan risau nanti saya akan kembali semula....Tetapi sebelum itu, mari kita tengok gambar harimau ini. Comel tak? Sopan saja duduknya....

Tuesday, August 25, 2009

Puasa Sulung

Masih belum terlewat rasanya hendak mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK. Anggaplah Ramadhan kali ini Ramadhan yang terakhir buat kita. Gunakan segala peluang dan kesempatan yang ada untuk beramal ibadat dan mengumpul seberapa banyak pahala yang termampu.

Di atas ini gambar anak bongsu saya. Gambar dirakam beberapa saat sebaik selesai membaca 'doa buka puasa'. Ramadhan tahun ini mencatat sejarah istimewa kerana anak bongsu saya yang berusia enam tahun lapan bulan (tetapi sudah berada di Tahun Satu) mula belajar berpuasa. Beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan, dia sudah tidak sabar untuk berpuasa. Saya tidak pernah memaksa anak-anak saya berpuasa dan Alhamdulillah kesemua anak saya dengan rela hati akan berpuasa dengan sendirinya. Syukur pada Allah kerana memudahkan bab ini dalam proses saya membesarkan anak-anak berlandaskan lunas-lunas Islam.

Kami bangun bersahur lebih kurang pukul 4.45 pagi. Anak saya tidak mahu makan nasi, tetapi cukup setakat makan koko crunch dan susu saja. Ikut sayalah tu..saya pun tak makan nasi semasa bersahur. Saya makan bijirin jagung dan susu saja. Kalau makan nasi, bila siang nanti perut senak. Dan jangan risau, suami saya tak makan bijiran jagung atau koko crunch. Dia makan nasi seperti kebanyakan umat Islam yang lain.

Hari pertama Ramadhan kami pulang ke Lembah Kelang untuk berbuka bersama Abah, Mak, Abang dan Adik-adik. Sepanjang perjalanan, anak saya ni tidur sahaja. Kami bertolak lebih kurang pukul 7.30 pagi kerana saya ada taklimat di Galeri Ilmu, Kota Damansara.

Apabila tengahari, anak saya sudah mula tarik muka lapar dan dahaga. Saya tanya hendak buka atau tidak. Anak saya menggelengkan kepala. Dia meneruskan puasanya dalam keadaan yang lemah lagi lesu. Cuaca yang agak mendung hari pertama berpuasa ini banyak membantu. Jadi anak saya masih boleh bertahan. Apabila kembali ke sekolah nanti, tak tahulah macam mana pula. Mesti penat kerana anak-anak saya bersekolah agama dan kebangsaan. Tetapi tidak mengapa, 'Allah sayang dan nanti dapat pahala banyak'- ini modal saya memujuk anak-anak yang kadang-kala merungut kepenatan.

Lebih kurang pukul 6 petang, suami saya membawa anak-anak saya ke 7-11 berhampiran untuk membeli 'air minuman pilihan mereka'. Mereka tidak ke 'Pasar Ramadhan'. Sebab tidak ke sana ialah yang pertama- mengikut nasihat Kementerian Kesihatan agar elakkan dari berkunjung ke tempat yang sesak dan yang kedua- juadah berbuka puasa selalunya saya masak sendiri bagi mengelakkan keracunan makanan dan menjimatkan belanja. Air minuman berwarna-warni di Pasar Ramadhan pun jika boleh cuba elakkan kerana ini selalunya punca keracunan makanan. Kalau hendak beli pun, pastikan yang menjual itu penjual yang biasa berniaga di pasar malam.

Maka apabila azan berkumandang, berbukalah kami. Anak bongsu saya ini pun berbuka dengan gembira tetapi anak kedua saya pula tiba-tiba muka pucat sebaik sahaja habis minum air. Menggelabah saya dibuatnya. Abang terbaring di kerusi macam hendak pitam. Saya pegang badan dia dan suapkan buah kurma ke dalam mulutnya. Atuk dan nenek dia pun risau juga melihat cucu lelaki ini pucat. Selepas habis sebiji buah kurma, baru anak kedua saya (berusia 10 tahun) ini mula bermaya. Anak sulung saya tiada masalah kerana sudah biasa berpuasa ( berusia 12 tahun. Tahun ini UPSR dan saya yang terlebih risau).

Alhamdullilah saya bersyukur kerana kesemua anak saya berjaya berpuasa di hari pertama Ramadhan. Saya juga bersyukur kerana anak bongsu saya berjaya melengkapkan Puasa Sulungnya di usia yang muda. Ya Allah, terima kasih kerana membantu aku yang serba-serbi kekurangan ini dalam mendidik anak-anak. Selamat Menjalani ibadat berpuasa. Semoga kita semua mendapat keberkatannya. Insya Allah.


Wednesday, August 19, 2009

Minta diampunkan dosa kaum mukminin

Besar pahala yang kita dapat jika kita meminta diampunkan dosa seluruh kaum mukminin di mana sahaja mereka berada walaupun kita tidak kenal dan tidak tahu berapa jumlah mereka kesemuanya.

Rasulullah s.a.w bersabda,

"Sesiapa yang meminta ampunkan dosa orang mukmin lelaki dan perempuan, maka Allah menulis baginya untuk setiap orang mukmin dan mukminat satu kebaikan."

Biasanya kita meminta diampunkan dosa orang-orang yang kita kenal. Mungkin juga kita meminta diampunkan dosa seluruh kaum mukminin tetapi kita tidak tahu betapa besar ganjarannya.

Kalau kita meminta ampunkan dosa seluruh orang beriman, lelaki dan perempuan, maka kita mendapat satu kebaikan dari setiap orang yang kita doakan. Cuba bayangkan berapa jumlah orang beriman di dunia ini, sebanyak itulah kebaikan yang kita peroleh jika membaca doa satu kali secara umum.

Untuk mendapatkan ganjaran lebih besar, lebih baik kita doakan kaum mukminin yang masih hidup dan yang sudah mati. Ini doanya:

"Ya Allah, berilah ampun bagi seluruh kaum mukminin dan mukminat, muslimin dan muslimat, mereka yang hidup dan sudah mati. Sesungguhnya Engkau Maha Mendengar, Maha Dekat, menerima doa dan memenuhi hajat."

Jalan Menuju Syurga Firdaus - Syahrin Jasah

Thursday, August 13, 2009

Surat dari Syaitan

Sakit hati bila membaca surat ini....

SURAT DARI SYAITAN

Aku melihatmu kelmarin, saat engkau memulai aktiviti harianmu.
Kau bangun tanpa sujud mengerjakan subuhmu.
Bahkan kemudian, kau juga tidak mengucapkan "Bismillah" sebelum memulai santapanmu,
juga tidak sempat mengerjakan solat Isyak sebelum berangkat ke tempat tidurmu.
Kau benar-benar orang yang bersyukur, Aku menyukainya.

Aku tak dapat mengungkapkan betapa senangnya aku melihatmu tidak mengubah cara hidupmu.

Hai Bodoh, Kamu milikku.
Ingat! Kau dan aku sudah bertahun-tahun bersama,
dan aku masih belum mampu mencintaimu.
Malah aku masih membencimu, kerana aku benci Allah.
Aku hanya menggunakanmu untuk membalas dendamku pada Allah.
Dia sudah mencampakkan aku dari syurga dan aku akan tetap
memanfaatkanmu sepanjang masa untuk membalasnya.
Kau lihat, ALLAH MENYAYANGIMU dan dia masih memiliki rencana-rencana untukmu di hari depan.

Tapi kau sudah menyerahkan hidupmu kepadaku,
dan aku akan membuat kehidupanmu seperti neraka.
Sehingga kita mampu bersama dua kali dan ini akan menyakiti hati Allah
Aku benar-benar berterima kasih padamu, kerana aku sudah menunjukkan kepadaNya
siapa yang menjadi pengatur dalam hidupmu dalam masa-masa yang kita jalani.

Kita menonton filem 'porno' bersama, memaki orang, mencuri, berbohong, munafik, makan sekenyang-kenyangnya, bergosip, menghakimi orang, menikam orang dari belakang, tidak hormat pada orang tua,
Tidak menghargai masjid, berperilaku buruk.
Tentunya kau tak ingin meninggalkan ini begitu sahaja.

Ayuhlah, hai Bodoh! Kita terbakar bersama selamanya.
Aku masih miliki rencana-rencana hangat untuk kita.
Ini hanya merupakan surat penghargaan untukmu.
Aku ingin mengucapkan TERIMA KASIH kerana sudah mengizinkanku memanfaatkan hampir semua masa hidupmu.

Kamu memang sangat mudah dibodohi, aku mentertawakanmu.
Saat kau tergoda berbuat dosa, kamu menghadiahkan tawa.
Dosa sudah mulai mewarnai hidupmu.
Kamu sudah 20 tahun lebih tua, dan sekarang aku perlu darah muda.
Jadi, pergi dan lanjutkanlah mengajar orang-orang muda bagaimana berbuat dosa.
Yang perlu kau lakukan adalah merokok, mabuk-mabuk, berbohong, berjudi, bergosip dan hiduplah se-ego mungkin.

Lakukan semua ini di depan anak-anak dan mereka akan menirunya.
Begitulah anak-anak.
Baiklah, aku persilakan kau bergerak sekarang.
Aku akan kembali beberapa detik lagi untuk menggodamu lagi.
Jika kau cukup cerdas, kau akan lari sembunyi dan bertaubat atas dosa-dosamu.
Dan hidup untuk Allah dengan sisi umurmu yang tinggal sedikit.
Memperingati orang bukan tabiatku, tapi usiamu sekarang dan tetap melakukan dosa, sepertinya memang agak aneh.

Jangan salah faham, aku masih tetap membencimu.
Hanya saja kau harus menjadi orang tolol yang lebih baik di mata Allah.

**Wahai umat Islam semua, mari kita perangi habis-habisan segala hasutan syaitan dan sujud hanya kepada Allah.
Saya tidak tahu siapa penulis karya ini. Karya ini mampu memberi kesedaran kepada kita untuk membenci Syaitan dan kaum kerabatnya.


Tuesday, August 11, 2009

Berita Gembira Buat Orang-orang Yang Beriman

Rumah sederhana dengan iman, bukan istana dengan sikap melampaui batas.

Sesungguhnya seorang wanita yang tinggal di sebuah pondok beribadah kepada Tuhannya, mendirikan solat lima waktu, dan berpuasa di bulan Ramadhan, merupakan wanita yang paling berbahagia dari wanita yang tinggal di dalam istana sambil dikelilingi dayang-dayang, serta dimeriahkan dengan pesta yang dipenuhi dengan hidangan.

Sesungguhnya, seorang mukminah yang berada di sebuah rumah beratap rumbia, dengan roti dan gandum, air dari teko, namun bersamanya ada mushaf dan tasbih adalah lebih bahagia dari wanita yang hidup di apartmen yang tinggi dengan bilik-bilik mewah, namun dia tidak mengenal Tuhannya, tidak berzikir mengingatiNya dan tidak mengikut sunnah RasulNya.

Sesungguhnya fahamlah anda makna kebahagiaan. Kebahagiaan bukan dalam definisi yang sempit dan menyesatkan. Ramai orang menyangka bahawa apa yang difikirkannya adalah benar. Mereka mengira bahawa kebahagiaan adalah dolar, dinar, dirham, rial, katil yang empuk, pakaian yang indah, makanan yang enak, minuman yang lazat dan kenderaan yang mewah. Tidak!

Sesungguhnya kebahagiaan yang hakiki terletak pada kepuasan hati, kesenangan perasaan, ketenangan jiwa, kegembiraan rohani, kelapangan dada, budi pekerti yang baik, akhlak mulia yang diiringi dengan sifat menerima dan merasa cukup dengan anugerah yang diberikan.

Jangan bersedih- Jadilah wanita yang paling bahagia -Dr 'Aidh bin Abdullah Al-Qarni

Monday, August 10, 2009

Kunjungan ke Yayasan Amanah An Nur Maisarah

Yayasan An-Nur Maisarah
Dr Fazillah Nordin


Anak bongsu saya posing tepi tupai

Semalam saya ke Yayasan Amanah An Nur Maisarah di Chemor, Perak. Tujuan ke sana adalah untuk "RAHSIA" di samping mendedahkan kepada anak-anak saya tentang kehidupan anak-anak yatim tanpa ibu bapa di sisi mereka. Sengaja saya membawa anak-anak ke sini agar mereka bersyukur dengan apa yang mereka ada dan sedar yang ada anak-anak lain di luar sana yang memerlukan bantuan.

Yayasan tersebut berada dalam kawasan seluas 5 ekar. Ketika ini Yayasan sedang meratakan kawasan kebun getah berhampiran untuk menanam limau manis dan pisang emas.

Saya berkesempatan bertemu dengan salah seorang pemegang amanah di sini iaitu Dr Fazillah Nordin atau lebih mesra dengan panggilan 'Ibu'. Menurut Ibu, ketika ini terdapat 37 orang anak-anak yatim yang menginap di Yayasan ini dan ada di antara mereka sedang melanjutkan pelajaran di Universiti. Dan penghuni yang paling kecil ialah seorang bayi berusia 6 bulan. Anak-anak ini dibenarkan tinggal di sini sehingga mereka berumahtangga. Mereka hanya dibenarkan pulang ke kampung halaman selama 10 hari sahaja dalam setahun. Namun waris-waris mereka dibenarkan melawat pada bila-bila masa.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang ke yayasan ini, anda boleh salurkan sumbangan anda kepada: YAYASAN AMANAH AN-NUR MAISARAH
NO AKAUN CIMB: 08160000023108

Marilah kita bersama-sama membeli saham untuk akhirat...Insya Allah.

Wednesday, August 5, 2009

Zalimkah saya?

Menonton televisyen lebih banyak memberi kesan yang negatif terhadap kanak-kanak. Bincangkan.

Pernah tulis karangan bertajuk di atas, masa zaman sekolah dulu (dulu-dulu...dah tuanya diri ini.)? Kita semua maklum yang televisyen membawa lebih banyak kesan negatif dari positif. Tetapi berapa ramai di atas kita yang sanggup berpisah dengan peti televisyen itu?

Kita selalu bising bila anak-anak asyik menonton televisyen dan tidak membuat kerja rumah. Dan kita juga akan bising bila anak-anak melewatkan solat kerana sibuk menonton kartun kegemaran mereka. Dan kita akan jadi bertambah bising dan marah, bila anak-anak langsung tidak mendengar kata kerana lebih suka mendengar nyanyian kartun-kartun dalam televisyen itu. Namun, cukupkah sekadar berleter pada anak-anak tanpa berbuat sesuatu terhadap peti televisyen di ruang tamu rumah kita?

Percaya atau tidak, saya telah melakukan sesuatu yang drastik terhadap anak-anak saya dan peti televisyen di rumah saya ini. Sejak bulan Jun yang lalu, anak-anak saya hanya dibenarkan menonton televisyen mulai hari Jumaat malam sehingga hari Ahad petang. Ketika peringkat awal saya dan suami menguatkuasakan undang-undang ini, anak-anak kami (berumur 7, 10 dan 12 tahun) marah-marah, hentak-hentak kaki dan menarik muka masam yang melampau, namun sekarang mereka sudah biasa hidup tanpa dikuasai oleh televisyen. Allah Taala memudahkan lagi urusan kerana saya yakin saya melakukan perkara yang baik...Syukur Alhamdulillah.

Banyak kesan-kesan positif yang saya terima daripada tindakan saya ini. Antaranya:
1. anak-anak saya lebih mudah mendengar kata.
2. jadual mereka selepas pulang dari sekolah lebih terurus.
3. kerja rumah mereka siap tepat pada waktunya.

Pendek kata, saya lebih mudah menguruskan kehidupan mereka tanpa gangguan/tarikan/pengaruh televisyen.

Bagaimana saya mampu melaksanakan undang-undang ini?
Senang sahaja, cabut kad Astro tu dan sorokkan di tempat selamat. Peringkat awal, bersedialah dengan reaksi anak-anak tapi sebagai ibubapa kita harus tegas, tegas dan TEGAS.

Namun ada sesetengah pihak yang kurang setuju dengan tindakan saya ini. Ada yang kata, "kasihan anak-anak tidak dapat tengok TV". Tetapi saya pekakkan telinga. Apa yang penting ialah saya lakukan semua ini untuk kebaikan anak-anak saya. Zalimkah saya??

Friday, July 17, 2009

Wanita Paling Anggun di Dunia

Ini buku kegemaran saya yang penuh dengan motivasi dan kata-kata semangat. Coretan di bawah saya ambil dari buku JANGAN BERSEDIH- JADILAH WANITA YANG PALING BAHAGIA oleh Dr 'Aidh b 'Abdullah Al-Qarni.

Wahai wanita-wanita cantik dan jelita di luar sana, bacalah buku ini untuk mendapat kebahagian dunia dan akhirat...Insya Allah.


"Di setiap tempat, pasti anda temukan kegelapan dalam kehidupan anda.
Kewajipan anda hanyalah menyalakan lampu untuk menerangi anda sendiri."

Anda dengan kecantikan yang anda miliki, ternyata lebih cantik dari matahari. Dengan akhlak anda, anda lebih harum dari minyak wangi. Dengan sikap tawadhu' anda, anda lebih tinggi purnama. Dan dengan cinta anda, anda lebih segar dari rintik gerimis. Oleh kerana itu, peliharalah kecantikan anda dengan keimanan, keredhaan dengan kepuasan dan kehormatan dengan hijab yang menutup aurat.

Ketahuilah bahawa perhiasanmu bukanlah emas atau
perak, tetapi dua raka'at menjelang Subuh, dahagamu di tengah hari yang panas kerana puasa, derma yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh Allah, air mata taubat, sujud panjang di atas hamparan sejadah, dan malu kepada Allah kerana terdorong bisikan nista dan ajakan syaitan.

Jadikan taqwa ini bak pakaian anda, nescaya anda akan menjadi wanita yang tercantik di dunia meskipun pakaian bertampal. Jadikanlah rasa malu sebagai baju kurung anda, nescaya anda menjadi wanita yang paling anggun di dunia meskipun anda tidak berkasut. Hindarilah oleh anda rutin hidup seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita fasiq dan non muslim yang suka memperlihatkan daya tariknya untuk memikat lawan jenis dan menjadikan tubuhnya sebagai komoditi kaum lelaki tanpa mengendahkan norma-norma susila, kerana sesungguhnya mereka adalah bahan bakar neraka jahanam.









Sunday, July 12, 2009

Kedai Makan Railway Corner

Bila sebut sahaja Tanjung Rambutan terus terlintas di fikiran 'Hospital Bahagia' hospital untuk pesakit mental yang agak terkenal di Malaysia. Tetapi tahukah anda di sini ada satu kedai makan yang terletak di dalam stesyen kereta api? Nama tempat ini Kedai Makan Railway Corner. Mungkin pada sesetengah orang tempat ini biasa saja, tetapi pada saya tempat ini cukup istimewa.

Tempat ini menyimpan sejarahnya sendiri kerana stesyen kereta api ini sudah lama didirikan. Zaman British kot? Struktur bangunan adalah daripada kayu dan mungkin menarik buat pelajar Architecture untuk buat kajian.

Makanan yang disajikan di sini ialah roti canai, nasi lemak, kue teow kari dan lain-lain. Yang seronoknya masa makan boleh tengok keretapi yang lalu. Walaupun sudah berpuluh kali sarapan pagi di sini, saya dan anak-anak masih kagum dan teruja setiap kali keretapi lalu. Excitednya bukan main lagi...maklumlah bukan selalu dapat tengok keretapi. Saya pasti akan merindui tempat ini bila kami pulang ke KL semula hujung tahun ini. Agak-agaknya di KL tu di mana saya boleh dapat sumber inspirasi untuk menulis?

Itu sahaja buat kali ini. Saya sibuk sangat sekarang. Tarikh penyerahan manuskrip novel awal remaja terbaru telah diawalkan. Kena pulun tulis habis-habisan kerana ada projek lebih besar yang sedang menunggu...

Monday, July 6, 2009

Durian kucing duduk???

Semasa saya sedang berseminar ebook di Kuala Lumpur, abah dan emak saya bergegas ke dusun buah-buahan mereka di Hulu Langat, Selangor. Perjalanan dari rumah mereka ke dusun itu jauhlah juga, lebih kurang 70km tetapi memandangkan anak mereka yang merantau ni pulang bercuti sekejap, mereka menguatkan diri merempuh perjalanan yang jauh itu.....

Dengan izin Allah Taala sebaik sahaja ibubapa saya tiba di dusun , gugurlah buah durian kucing duduk ni. Syukur Alhamdulillah, rezeki saya agaknya. Dalam TV pernah disiarkan tentang durian ini, namanya Durian Gergasi (Wow!! Giant!!). Tapi durian ini memang besar. Bentuknya macam buah labu yang besar. Saya belek-belek juga kenapa ia dipanggil kucing duduk. Terfikir juga hendak ambil kucing di rumah mak dan letakkan di sebelah durian itu...untuk buat perbandingan. Tapi kucing itu tak ada di rumah masa itu, pergi 'clubbing' agaknya. Yang pasti durian ini boleh 'duduk' sendiri tanpa bantuan. Berikut adalah gaya-gaya menarik yang sempat diberikan oleh durian itu kepada saya.








Sunday, July 5, 2009

Seminar Ebook BEST...

Saya telah menghadiri Seminar Ebook yang dikelolakan oleh Encik Mohd Suhaimy atau lebih dikenali sebagai Shuth di alam cyber. Seminar diadakan di Quality Hotel Kuala Lumpur. Saya buat pusingan dua kali di Jalan Raja Laut untuk cari hotel ini. Kali kedua pusing, berhenti sekejap tanya En Sapu Sampah di mana Quality Hotel. Terima kasih En Sapu Sampah...kalau dia tak tolong, saya mungkin sampai lewat! Kalau dia tak tolong lagi, Jalan Tuanku Abdul Rahman tu mesti banyak sampah yang tidak dibersihkan.

Memang tak rugi dan amat berbaloi saya menghadiri seminar ini. Hilang penat saya memandu dari Ipoh ke KL. Banyak ilmu yang saya dapat dari Encik Shuth yang tidak kedekut ilmu dan sanggup berkongs
i banyak perkara dengan kami yang hadir. Saya juga dapat beberapa orang kenalan baru iaitu Ila, Su dan Ni'sa. Semuanya adik-adik kat situ...(Argg...I feel so old), well never mind, Ann. People do get old. At least it's better than getting younger and younger. Nanti susah pula. Betul tak?

Dan yang paling BEST,
surprise yang En Shuth janjikan di akhir seminar itu. Pada seseorang yang minat menulis seperti saya surprise yang diberikan umpama pucuk dicita, ulam mendatang. Nak tahu apa surprisenya? Datanglah sendiri ke seminar ebook tu. Klik sebelah ini saja untuk maklumat lanjut.

Wednesday, July 1, 2009

Sebelum dipanggil pulang..


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:


Jika manusia mati, maka akan terputus amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepadanya.


Kematian pasti akan tiba. Kematian akan menjemput setiap makhluk bernyawa yang menghuni bumi ini. Yang kaya dan berharta serta yang miskin papa kedana pasti akan mati. Walau kita kaya raya dan berharta apabila kita meninggalkan dunia ini cuma ada tiga perkara sahaja yang boleh kita bawa bersama ke alam barzakh iaitu:


sedekah jariah

ilmu yang bermanfaat

doa anak yang soleh


Perbanyakkanlah melakukan ketiga-tiga perkara di atas. Gunakan kesempatan bersedekah ketika Allah Taala melimpahkan rezeki yang tidak putus-putus kepada kita. Jangan lupa akan insan lain yang mungkin tidak semewah kita. Bersedekahlah untuk bekalan di hari akhirat. Ada golongan umat Islam yang sanggup mengeluarkan ratusan ringgit untuk menyaksikan konsert artis pujaan tetapi tatkala diminta bersedekah, tangan itu cukup berat untuk mengeluarkan walaupun sepuluh ringgit. Dan bersedekah tidak semestinya ketika kita mewah sahaja, ketika kesempitan wang pun kita harus bersedekah. Yakinlah, Allah Taala pasti akan melipatkali gandakan rezeki kita setiap kali kita bersedekah.


Setiap ilmu bermanfaat yang kita turunkan kepada sesiapa sahaja dapat membantu kita di alam barzakh nanti. Inilah antara sebab yang kukuh mengapa saya memilih untuk menghasilkan novel remaja berbentuk Islami. Niat saya agar remaja-remaja yang membaca novel saya akan memanfaatkan ilmu yang saya selitkan dalam novel tersebut. Dan perkara ini jugalah yang mendorong saya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan.


Doa anak yang soleh juga dapat membantu kita nanti. Didiklah anak-anak agar sentiasa melaksanakan suruhan Allah Taala dan meninggalkan larangannya. Ajar anak-anak cintakan akhirat dan jangan dedahkan mereka kepada hiburan dunia yang melekakan dan tiada batasan.


Marilah kita bersama-sama berusaha mencukupkan bekalan untuk dibawa pulang ketika Allah Taala menjemput kita pulang semula ke tempat asal...




Monday, June 29, 2009

Pakej Video Youtube

Malam tadi masa surfing, terjumpa pakej video youtube yang disebelah kanan sana. Menarik betul penjelasan Pn Lisa Hilmi empunya pakej berkenaan. Jadi, selepas membaca testimonial pembeli sebelum ini, saya pun terus membuat pesanan.

Pada masa ini saya sedang menunggu dengan perasaan yang tidak sabar akan ketibaan produk tersebut ke rumah saya. Saya suka membeli produk-produk sebegini di internet. Setiap hari pasti ada perkara dan ilmu baru yang saya perolehi. Rasanya kemahiran penggunaan internet saya turut meningkat. Dulu saya hanya tahu menulis dan membaca emel sahaja. Tetapi sekarang sudah banyak benda yang saya tahu.

Dalam masa yang sama juga, saya sedang mengumpul bahan-bahan dari internet untuk ebook pertama saya yang masih dalam proses perancangan dan penulisan. Nantikan ketibaan ebook pertama saya di internet.

Sunday, June 28, 2009

Produk Halal dan Haram



Baru-baru ini saya berpeluang mendengar ceramah produk halal dan haram oleh Tn Hj Shaharudin Hj Nordin pengasas Syarikat JISHAH CORPORATION (M) SDN. BHD. sebuah syarikat yang ditubuhkan atas dorongan dan permintaan untuk menerapkan konsep perniagaan dan pengilangan yang memenuhi landas-landas Islam.

Ceramah yang diberikan secara bersahaja ini meninggalkan kesan yang amat mendalam dalam diri saya. Saya akan pastikan selepas ini produk-produk HARAM tidak akan masuk ke dalam tubuh saya, suami , anak-anak dan rumah saya.

Subhanallah, rupa-rupanya begitu banyak sekali produk bercop HALAL yang sebenarnya TIDAK HALAL berada di pasaran. Sebelum ini, saya ada juga mendengar terdapat produk yang HALAL tetapi TIDAK HALAL. Namun saya tidak begitu mengendahkan perkara ini kerana selagi produk berkenaan ada logo HALAL saya yakin ia HALAL. Rupa-rupanya saya silap besar. Selepas mendengar ceramah, baru saya disedarkan. BARU PADAM MUKA SAYA!!!

Mengapa boleh terjadi begini? Saya tidak mahu menuding jari ke mana-mana pihak. Cuma saya sebagai seorang Islam perlu LEBIH BERHATI-HATI agar tidak tertipu lagi. Di sini saya ingin berkongsi produk-produk yang kononnya HALAL. Jika saya tidak berkongsi dengan sesiapa, ramai umat Islam yang akan termakan atau terguna produk-produk HARAM ini.

Pernah makan 'jejari ketam' atau 'crab stick'? Bentuk macam jari-jari putih dan atas berwarna merah jingga. Hendak tahu warna merah jingga tu apa? Itu sebenarnya darah BABI (Maaf. Saya tidak mahu gunakan perkataan KHINZIR, sopan sangat. Binatangnya tetap sama, tetap HARAM). Jangan risau, saya pun dah kenyang makan crab stick ini. Antara benda lain yang tidak boleh dimakan yang mengandungi ekstrek atau lemak BABI ialah sumi jeli, cumi kiki, sugus, fruittella, karamel, maggi, ajinomoto, keju, laici dalam tin, cendawan butang dalam tin, kacang pis dalam tin (Rujuk buku HALAL HARAM- Panduan Persatuan Pengguna Pulai Pinang.) Kalau fakta-fakta dalam buku ini tidak betul, sudah lama syarikat-syarikat terlibat menyaman Persatuan ini!

Pernah makan gula-gula macam gula-gula getah yang anjal itu (ada dijual di Giant, ditimbang ikut gram? Gula-gula yang berwarna warni dan disalut gula putih. Itu sebenarnya kulit BABI! Subhanallah...Saya selalu makan gula-gula ini.


Barangan rumah yang tidak boleh digunakan pula ialah Breeze, Fab, Colgate (walaupun, sehingga kini masih mengaku HALAL), Axion, Febreeze, keluaran Lever Brothers, Unilever, dsb. Sabun-sabun kain atau mesin basuh ini serta sabun cuci pinggan mengandungi lemak babi. Itu sebabnya banyak buih-buih terhasil. Berkilat pinggan mangkuk kita....SSSYYIIUUTT..bunyinya.

Milo pun tidak boleh diminum kerana ada lemak babi. Anak-anak saya selalu memesan milo ais setiap kali kami makan di luar. Ya Allah, sedihnya....

Untuk pengetahuan semua, cop HALAL di Thailand sebenarnya dikeluarkan oleh Persatuan Buddha Thailand dan bukannya orang Islam. Jadi berhati-hatilah. Kalau hendak senang lagi, jangan beli langsung (Di sini saya hendak mengucapkan terima kasih kepada Syarikat JISHAH dan HPA) kerana saya kini sudah ada pilihan dalam membeli produk-produk makanan dan kegunaan dapur.

Coke dan Pepsi pun jangan minum. HARAM kerana mengandungi kandungan ALKOHOL yang tinggi.

Sebenarnya saya sudah lama tidak minum Coke dan Pepsi kerana pada awalnya hendak memboikot produk Israel. Rupa-rupanya ada hikmah disebalik kempen boikot produk Israel...

Sebaik tiba di rumah selepas mendengar ceramah, saya terus buang sabun Breeze dan sabun basuh pinggan ke dalam tong sampah. Malam itu juga saya bergegas ke stokis HPA di Greentown, Ipoh. Taubat! Taubat! Saya tidak sanggup memakai pakaian dan pinggan mangkuk yang disalut dengan binatang yang terkenal kerana H1N1 (sebutan saintifiknya bukan main canggih! Babi tetap Babi).

Atau mungkin, wabak Selesema Babi ini musibah dari Allah Taala kerana terlalu ramai umat Islam yang telah terguna produk yang terkandung BABI di dalamnya. Wallahualam.

Layari http://www.g-shah.com

Wednesday, June 24, 2009

Semua orang boleh menjadi penulis tetapi...

Pada 6 Jun 2009 saya berpeluang menghadiri Kursus Sehari Penulis Bebas (Penulisan Rencana,Majalah dan Akhbar) yang dikelolakan oleh Saudara Zamri Mohamad, seorang penulis muda yang telah menghasilkan lebih daripada 11 buah buku. Muda lagi orangnya tetapi sudah menjadi seorang penulis yang hebat.

Banyak ilmu yang dapat saya perolehi dari beliau dan Insya Allah akan dimanfaatkan sepenuhnya.

Semenjak berjaya menghasilkan Novel Awal Remaja, Diari Aneesa ramai teman-teman dan kenalan bertanya kepada saya soalan ini "Bolehkah saya menulis?" Mula-mula saya tersenyum. Bukan senyum kerana apa tapi siapalah saya ni untuk menjawab soalan macam tu. Novel sulung saya ni pun bukanlah sehebat mana kerana menurut Saudara Fauzul Naim (orang kuat PTS Publishing) buku kita yang pertama itulah yang paling teruk. Jadi memandangkan Saudara Zamri Mohamad sudah berada hampir dengan saya, saya bertanyakan soalan tersebut kepada beliau. Ini jawapan yang diberikan.

"Semua orang boleh menjadi penulis tetapi tidak semua orang boleh menjadi penulis yang berjaya." Bagus jawapan yang diberikan. Jadi untuk menjadi penulis yang berjaya, kita haruslah belajar dan terus belajar, menulis dan terus menulis. Inilah antara sebabnya mengapa saya memulakan blog ini.

Saya harus melatih diri agar dunia penulisan sebati dengan diri saya. Dalam masa yang sama kelemahan diri harus sentiasa diperbaiki. Kalau ada bengkel penulisan di mana-mana, jika ada kelapangan saya akan cuba ikuti. Hujung tahun ini Insya Allah, kami akan pindah semula ke KL. Dan harap-harap saya dapat menghadiri bengkel-bengkel penulisan percuma yang dianjurkan oleh Universiti PTS.

Seperkara lagi, 4 Julai ini saya akan sekali lagi menghadiri Seminar Ebook oleh Saudara Shuth, moderator WangCyber.com. Saya sudah ada manuskrip buku untuk dihasilkan dapat bentuk Ebook. Rasanya, jika betul perancangannya ebook ini bakal meletup di pasaran dunia internet...(angan-angan...hihi) Tak salah berangan-angan selagi kita masih menjejak di bumi yang nyata. Lagipun disebabkan angan-anganlah, terhasilnya Diari Aneesa.

Sunday, June 21, 2009

Mengejar Impian

"Twenty years from now you will be more disappointed by the things that you didn't do than by the ones you did do. So, throw off the bowlines. Sail away from the safe harbour. Catch the trade winds in your sails. Explore. Dream. Discover."
- Mark Twain, American Author.

Menarik betul kata-kata Mark Twain. Saya jumpa kata-kata ini dalam buku Working@home yang saya beli pada tahun 2005. Maksud kata-kata ini meninggalkan kesan yang amat dalam pada diri saya yang mempunyai impian untuk menukar karier saya sekarang ini kepada seorang wanita dan ibu yang bekerja di rumah.

Ada kemungkinan besar jika saya tidak bertindak sekarang, 20 tahun akan datang saya akan menyesal kerana tidak mengejar impian saya. Lagipun hidup di dunia ini terlalu singkat. Doakan agar saya mempunyai kekuatan untuk mencapai impian dan melakukan perubahan besar dalam hidup saya.

Saturday, June 20, 2009

Menggamit memori di Memory Lane, Ipoh, Perak










Saya dan suami memang 'kaki jalan'. Hari Ahad minggu lepas, setelah menghantar ketiga-tiga anak kami mengaji Al- Quran di rumah Ustaz kami ke Memory Lane.

Memory Lane terletak di Jalan Honley, Ipoh. Tempat ini lebih dikenali sebagai "Keling Botol" di kalangan penduduk Perak. Memory Lane merupakan lubuk bagi penggemar barang-barang lama serta antik. Antara barang lama yang terdapat di sini ialah radio gram bercorong zaman P.Ramlee yang dapat kita lihat dalam cerita "Anakku Sazali", seterika lama, jam-jam dinding antik, keris, duit-duit syiling lama dan macam-macam lagi.

Ada peniaga yang sengaja memainkan lagu-lagu lama era 60an dan 70an yang mampu menggamit memori sesiapa yang berkunjung ke sini. Memang menarik berkunjung ke sini. Selain daripada melihat barang-barang lama di sini, kunjungan ke sini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada kita bahawa masa berlalu dengan pantas.

Contohnya ketika melihat alat perakam video VHS yang digunakan sekitar tahun 80an dan 90an yang jarang sekali digunakan ketika ini. Rasanya seperti baru semalam saya menonton video menggunakan alat ini, rupa-rupanya sudah hampir 20 tahun berlalu. Pantas betul masa berjalan. Pejam celik, pejam celik sudah setengah tahun kita di tahun 2009.

Secara tidak langsung ini memberi kesedaran bahawa hidup di dunia ini begitu pantas berlalu dan apa sahaja benda di dunia ini tidak kekal termasuk diri kita.

Selain daripada barangan lama dan antik, barang-barang baru pun ada dijual di sini seperti barang-barang yang terdapat di pasar malam. Cuma di sini, tidak ada jual putu mayam, apam balik dan seangkatan dengannya. Pakcik-pakcik jual ubat yang sentiasa 'glamor' macam buat konsert pun ada sekali. Bak kata, semua benda ada di Memory Lane. Dan kalau hendak diceritakan dalam entri ini, rasanya berjelar-jelar panjangnya. Pendek kata, anda perlu datang ke sini dan lihat apa yang istimewanya Memory Lane ini.


Novel Remaja yang Pertama

Diari Aneesa
Ini novel remaja saya yang pertama. Insya Allah novel seterusnya bakal menyusul.

Rasa hati Aneesa betul...ada sesuatu yang menarik akan berlaku dalam hidupnya. Diari pemberian Mak Su menjadi saksi kerana segalanya tercatat di situ.
Namun rupanya ada perkara-perkara yang Aneesa tidak bersedia hadapi dan menumpahkannya ke dalam diari kesayangannya.

Aneesa tidak bersedia untuk melihat Ika di ambang kematian kerana Aneesa belum lama bersahabat dengannya.

Aneesa tidak bersedia dihantui rasa bersalah kerana musibah yang menimpa Hanafi, rakan sekelas yang selalu membuatkan hatinya geram.


Aneesa juga tidak bersedia merungkai misteri sekeping kad yang dilayangkan kepadanya.

Aneesa hanya yakin, Allah yang mengatur semua itu. Satu demi satu sudah tertulis di Luh Mahfuz sebelum tercatat di dalam diarinya. Pasti semuanya ada kebaikan...dia mahu tunggu dan lihat.