Saturday, June 20, 2009

Menggamit memori di Memory Lane, Ipoh, Perak










Saya dan suami memang 'kaki jalan'. Hari Ahad minggu lepas, setelah menghantar ketiga-tiga anak kami mengaji Al- Quran di rumah Ustaz kami ke Memory Lane.

Memory Lane terletak di Jalan Honley, Ipoh. Tempat ini lebih dikenali sebagai "Keling Botol" di kalangan penduduk Perak. Memory Lane merupakan lubuk bagi penggemar barang-barang lama serta antik. Antara barang lama yang terdapat di sini ialah radio gram bercorong zaman P.Ramlee yang dapat kita lihat dalam cerita "Anakku Sazali", seterika lama, jam-jam dinding antik, keris, duit-duit syiling lama dan macam-macam lagi.

Ada peniaga yang sengaja memainkan lagu-lagu lama era 60an dan 70an yang mampu menggamit memori sesiapa yang berkunjung ke sini. Memang menarik berkunjung ke sini. Selain daripada melihat barang-barang lama di sini, kunjungan ke sini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada kita bahawa masa berlalu dengan pantas.

Contohnya ketika melihat alat perakam video VHS yang digunakan sekitar tahun 80an dan 90an yang jarang sekali digunakan ketika ini. Rasanya seperti baru semalam saya menonton video menggunakan alat ini, rupa-rupanya sudah hampir 20 tahun berlalu. Pantas betul masa berjalan. Pejam celik, pejam celik sudah setengah tahun kita di tahun 2009.

Secara tidak langsung ini memberi kesedaran bahawa hidup di dunia ini begitu pantas berlalu dan apa sahaja benda di dunia ini tidak kekal termasuk diri kita.

Selain daripada barangan lama dan antik, barang-barang baru pun ada dijual di sini seperti barang-barang yang terdapat di pasar malam. Cuma di sini, tidak ada jual putu mayam, apam balik dan seangkatan dengannya. Pakcik-pakcik jual ubat yang sentiasa 'glamor' macam buat konsert pun ada sekali. Bak kata, semua benda ada di Memory Lane. Dan kalau hendak diceritakan dalam entri ini, rasanya berjelar-jelar panjangnya. Pendek kata, anda perlu datang ke sini dan lihat apa yang istimewanya Memory Lane ini.


No comments:

Post a Comment