Thursday, January 14, 2010

Biodata musuh kita

Kata orang, tak kenal maka tak cinta. Membaca biodata ini bukan untuk cinta kepadanya tetapi menyeru agar sama-sama membenci dan berhati-hati.

Biodata Musuh Kita

Nama: Iblis
Tempat kediaman: Hati yang lalai, tempat maksiat, tempat yang kotor
Keluarga: Jin, Syaitan dan Taghut
Tempat Kembali: Neraka Jahanam
Pangkat: Fasik darjah pertama
Agama: Kufur
Tugas: Professor dan pengarah bagi golongan yang menyesatkan hamba Allah
Kerja: Menyuruh kepada kemungkaran dan maksiat serta mencegah kebaikan
Tempoh khidmat: Hingga hari kiamat
Modal: Angan-angan
Majlis: Pasar-pasar
Tema kerja: Munafik penghulu akhlak
Keuntungan: Sia-sia seperti debu yang berterbangan
Pakaian: Pakaian yang tidak menutup aurat
Pasangan hidup: Orang yang berpakaian tetapi bertelanjang
Sahabat: Munafik
Sumber rezeki: Harta yang haram
Janji: Menjanjikan kefakiran dan kemiskinan
Cita-cita: Mengkafirkan semua manusia
Benda yang menyedihkan baginya: Banyak sujud kepada Allah
Makanan: Daging bangkai (mengumpat)

Dipetik dari JIN Hakikat dan Pengubatan oleh Dato' Haji Ismail Kamus

Sunday, January 10, 2010

Melangkah setapak lagi dalam penulisan


Syukur ke hadrat Illahi, kini saya melangkah setapak lagi dalam dunia penulisan.
Jumaat 8.1.2010 sekali lagi mencatat sejarah dalam dunia penulisan saya, dimana saya diterima sebagai salah seorang di antara tiga orang penulis untuk buku teks English Year One bagi tahun 2011.

Bagaimana saya terpilih? Sebenarnya pemilihan ini berkonsepkan pertandingan. Saya ke taklimat penulisan buku teks pada 21 November yang lalu. Di sana, kami diberi masa selama dua minggu bagi menghasilkan manuskrip contoh sebanyak 4 unit, 2 unit untuk buku teks dan dua lagi untuk buku latihan. Maka dalam tempoh yang diberikan itu, saya pun pulunlah menulis dan mengurangkan tidur saya yang sentiasa cukup 8 jam itu. Selepas siap, saya menghantar manuskrip-manuskrip tersebut ke DBP berserta berbakul-bakul doa...

Syukur sekali lagi, saya menerima panggilan (yang sentiasa dinanti-nantikan...nasib baik ada panggilan, kalau tak ada pasti frust menonggeng) menyatakan yang saya telah terpilih dan menjadi pemenang dalam 'pertandingan' ini yang turut disertai oleh ramai peserta. Esok saya akan ke DBP selama tiga hari bagi memulakan projek besar saya bagi tahun 2010. Dan novel saya yang kedua juga bakal menyusul pada tahun ini , begitu juga E-book saya yang pertama tetapi masih dalam pembikinan oleh En Shuth dari Wangcyber.com.

Thursday, January 7, 2010

Kita tidak kekal di dunia ini


Sekarang ini, saya sedang sibuk mengemas barang-barang untuk berpindah semula ke KL. Penat dan serik rasanya berpindah-randah. Namun apakan daya, perjalanan hidup saya sememangnya sudah diatur begini.

Rasa sedih hendak meninggalkan kawasan yang aman damai dan penuh ketenangan ini? Memang sedih, tetapi saya sering mengingatkan diri saya dan anak-anak bahawa kehidupan kami yang sering berpindah-randah ini umpama kehidupan kita di dunia ini. Tidak kekal dan bila-bila masa sahaja kita akan dipanggil pulang. Jadi, pastikan kehidupan kita di satu-satu tempat itu dipenuhi dengan perkara-perkara yang baik dan berfaedah.

Kesimpulannya, lakukan perkara-perkara yang elok, sentiasa mempertingkatkan amalan dan perbaiki kekurangan diri agar kita sentiasa bersedia serta mempunyai bekalan yang mencukupi jika dipanggil kembali ke tempat asal kita.

Tuesday, December 22, 2009

Hobi saya MEMBACA....

Tengahari tadi saya ke POPULAR bookstore lagi. Beli buku lagi....rasanya saya lebih kerap beli buku dari beli pakaian...pelik tak? Rasanya, wanita-wanita seperti saya selalunya lebih suka membeli pakaian, kasut, beg dan seumpama dengannya. Saya pun suka beli baju tetapi sejak kebelakangan ni suka sangat beli buku...Agaknya dah tua kot...

Saya beli buku FAHAMILAH PERASAANKU- 30 LUAHAN PERASAAN SUAMI oleh Dato' Dr Hasan Ali....entah macamana boleh terbeli buku ini. Mungkin ada hikmahnya....Di bawah ini saya kongsikan sedikit informasi untuk dikongsi bersama.

LUAHAN 6 - "Isteriku, hiasilah dirimu" (saja saya pilih part ni....sebenarnya untuk memberi kesedaran pada diri saya yang semakin tua ni...hihi)

Wanita adalah penghibur kepada suaminya. Isteri yang menghias diri dan sentiasa kelihatan menarik adalah daya asas yang dapat menjernihkan fikiran perasaan suaminya.

Tips 6- Panduan Menghias Diri

1. Menjaga kesihatan fizikal dan mental. (Insya Allah, boleh buat...)

2. Melakukan senaman dan riadah. (sikit malas nak buat)

3. Memperbanyakkan ibadah. (Insya Allah, boleh dibanyakkan...Amin)

4. Menghias diri dengan akhlak yang mulia. (Insya Allah, boleh buat...)

5. Mengawal timbangan berat badan. (HUARRGGG!!!! INI TAK BOLEH BUAT)

6. Pastikan fikiran sentiasa tenang dan positif bagi memancarkan keceriaan pada wajah. (Insya Allah, saya sentiasa positif dan tenang)

7. Dapatkan tidur dan rehat yang sempurna. (Tidur memang cukup, kadang-kadang terlebih tidur)

8. Sentiasa membersihkan diri. (Hari-hari saya mandi, jadi diri sentiasa bersih)

9. Mengubah tabiat makam dan menu harian. Pastikan menu makanan harian yang diambil adalah seimbang dan berzat. (Insya Allah, boleh diusahakan)

***Luahan hati saya

Jadi kepada isteri-isteri di luar sana inilah di antara luahan suami-suami...

Wednesday, December 16, 2009

Syurga pun ikut berdoa

Rasulullah s.a.w bersabda:
Apabila seorang muslim meminta kepada Allah supaya masuk syurga, tiga kali, maka syurga berkata: "Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga." Apabila dia meminta supaya dia dijauhkan daripada neraka, tiga kali, maka neraka pun berkata:"Ya Allah, jauhkan dia daripadaku."

Semua manusia hendak masuk syurga, tiada seorang pun yang hendak masuk neraka. Saya ada terbaca tentang betapa dahsyatnya kepanasan api neraka yang mengatakan jika pintunya dibuka sebesar lubang jarum, akan hancur terbakar bumi ini sehingga menjadi debu. Subhanallah...janganlah dijadikan neraka persinggahan terakhir kita.

Keterangan hadis di bawah ini ialah dari buku "JALAN MENUJU SYURGA FIRDAUS-siri 4 (Syahrin Jasah):

Kalau kita memohon kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam syurga, mungkin Allah kabulkan permintaan kita dan syurga itu pun sebenarnya ikut berdoa. Syurga juga menginginkan supaya kita ikut menjadi penghuninya.

Kalau kita berdoa supaya dijauhkan daripada neraka, neraka juga akan turut berdoa supaya kita dijauhkan daripadanya. Neraka itu juga menginginkan supaya kita terselamat dan dijauhkan daripadanya.

"Ya Allah, masukkan kami ke dalam syurga."
"Ya Allah, jauhkanlah kami daripada neraka."

Thursday, December 10, 2009

Menutup aurat hanya budaya???


Menutup aurat hanya budaya?

Tidak? Ya? Ya...menutup aurat hanya budaya...budaya songsang!!

Baru-baru ini saya menonton program "Oprah Winfrey Show" yang akan berakhir penyiarannya pada 2011, tidak pasti pula mengapa. Saya tidak sempat hendak membaca berita tentangnya di Yahoo! News beberapa minggu yang lepas. Saya suka menonton program ini kerana kadang-kala isu yang dibincangkan menarik.

Isu yang saya tonton baru-baru ini agak menarik juga, di mana Oprah telah menemuramah beberapa orang wanita dari beberapa buah negara untuk berkongsi tentang bagaimana mereka menjalani kehidupan seharian mereka. Dan yang paling menarik ialah tentang seorang wanita Arab beragama Islam yang tinggal di UAE. Siapa yang tidak kenal dengan negara UAE itu?

UAE ialah sebuah negara yang masih muda. Pembangunannya hanya bermula pada tahun 1972. Menurut seorang Pak Arab, kenalan suami saya semasa kami berada di China dulu menceritakan yang asalnya sumber pendapatan mereka ialah mencari mutiara di dasar laut. Selepas penemuan minyak, barulah UAE mula membangun. Selepas itu, penduduknya menjadi kaya-raya.

Di UAE juga, pemuda-pemudinya tidak 'teringin' pun hendak berkahwin dengan warga asing (tidak seperti sesetengah artis Malaysia dan wanita Malaysia yang terkejar-kejarkan Mat-Mat Saleh, hinggakan Mat Saleh kerja pam minyak pun disapunya janji Mat Saleh...isk! isk! lawaklah). Golongan muda di UAE yang berkahwin sesama mereka, akan menerima sebuah kereta dan sebuah rumah sebagai 'hadiah perkahwinan' dari kerajaan UAE. Hebatkan?? Di sana tiada cukai pendapatan dan kos perubatan juga ditanggung oleh kerajaan mereka. Bestnya! Kalau dapat tinggal di sana.

Berbalik pada wanita dari UAE ini, dia seorang doktor. Penampilannya moden, tidak bertudung, berambut perang, kuku diwarnakan dan memakai baju ala-ala Punjabi suit (mungkin baju tradisional mereka, saya kurang pasti). Dia tinggal bersebelahan dengan rumah mak mentua dan abang suaminya. Wanita ini tidak pernah masak kerana mak mentuanya ada seorang tukang masak yang akan memasak untuk semua ahli keluarganya. Wanita ini akan menerima sekurang-kurangnya tiga jenis hidangan untuk satu hari. Best lagi!

Kemudian wanita ini keluar dari rumah beliau dan menunjukkan rumahnya dari luar. Beliau turut menunjukkan rumah mak mentua dan abang suaminya. Masya Allah!! Besarnya setiap rumah-rumah yang ditunjukkan!! Dapur mak mentuanya macam dapur di hotel-hotel, maklumlah sudah ada 'chef' tentulah dapurnya macam dapur di hotel.

Semasa berada di sana, mak mentua wanita ini dan beberapa orang ahli keluarga sedang makan tengahari. Dalam ramai-ramai wanita di situ, hanya mak mentua wanita itu sahaja yang memakai tudung dan berjubah hitam. Dan apabila melihat wanita ini, Oprah telah bertanya siapa dia? Kenapa dia bertudung dan awak tidak bertudung?

Ini jawapan wanita Arab itu, mak mentuanya berumur antara 50 - 60 tahun dan hanya wanita dalam lingkungan umur itu sahaja yang bertudung. Wanita-wanita muda dan moden seperti dirinya sudah tidak lagi memakai tudung kerana memakai tudung (menutup aurat) hanyalah budaya...IT'S JUST A CULTURE katanya. Subhanallah....kata saya. Ini yang tak best ni!! Apa sudah jadi? Selepas itu, Oprah pun kata 'Now, I understand.' Ya...understand yang wanita-wanita Islam yang bertudung dan menutup aurat hanyalah mengikut adat dan budaya. Maka, semua yang menonton program pada waktu itu sudah menerima maklumat yang salah. Sedih betul!!!

Kesimpulannya "Menutup aurat a.k.a bertudung itu wajib bagi wanita-wanita Islam dan bukannya hanya sekadar BUDAYA atau ADAT".....

Tuesday, October 20, 2009

Burasak - lagi sedap dari ketupat




Gambar apa tu?

Itulah 'burasak' makanan istimewa hari raya bagi mereka yang berbangsa Bugis. Sedap tau!. Bila dah makan burasak ni, saya memang dah tak pandang ketupat lagi.

Burasak ini rasanya macam nasi lemak yang telah dihimpit menjadi ala-ala nasi impit. Rasanya lemak-lemak dan enak dimakan dengan serunding kelapa, kuah kacang, rendang daging dan lain-lain.

Cara memasaknya ialah masak nasi lemak tapi jangan letak banyak sangat santan. Kemudian setelah masak, bungkus dalam daun pisang macam dalam gambar. Bentukkan leper bentuk empat segi panjang (macam dalam gambar juga). Kemudian bungkus lagi dalam daun pisang. Kesimpulannya perlu ada stok daun pisang yang banyak. Selepas itu kukus semula seperti kukus ketupat selama 4 -5 jam. Bila dah masak, boleh lah makan...mmmm...enak sekali.