Monday, August 10, 2009

Kunjungan ke Yayasan Amanah An Nur Maisarah

Yayasan An-Nur Maisarah
Dr Fazillah Nordin


Anak bongsu saya posing tepi tupai

Semalam saya ke Yayasan Amanah An Nur Maisarah di Chemor, Perak. Tujuan ke sana adalah untuk "RAHSIA" di samping mendedahkan kepada anak-anak saya tentang kehidupan anak-anak yatim tanpa ibu bapa di sisi mereka. Sengaja saya membawa anak-anak ke sini agar mereka bersyukur dengan apa yang mereka ada dan sedar yang ada anak-anak lain di luar sana yang memerlukan bantuan.

Yayasan tersebut berada dalam kawasan seluas 5 ekar. Ketika ini Yayasan sedang meratakan kawasan kebun getah berhampiran untuk menanam limau manis dan pisang emas.

Saya berkesempatan bertemu dengan salah seorang pemegang amanah di sini iaitu Dr Fazillah Nordin atau lebih mesra dengan panggilan 'Ibu'. Menurut Ibu, ketika ini terdapat 37 orang anak-anak yatim yang menginap di Yayasan ini dan ada di antara mereka sedang melanjutkan pelajaran di Universiti. Dan penghuni yang paling kecil ialah seorang bayi berusia 6 bulan. Anak-anak ini dibenarkan tinggal di sini sehingga mereka berumahtangga. Mereka hanya dibenarkan pulang ke kampung halaman selama 10 hari sahaja dalam setahun. Namun waris-waris mereka dibenarkan melawat pada bila-bila masa.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang ke yayasan ini, anda boleh salurkan sumbangan anda kepada: YAYASAN AMANAH AN-NUR MAISARAH
NO AKAUN CIMB: 08160000023108

Marilah kita bersama-sama membeli saham untuk akhirat...Insya Allah.

Wednesday, August 5, 2009

Zalimkah saya?

Menonton televisyen lebih banyak memberi kesan yang negatif terhadap kanak-kanak. Bincangkan.

Pernah tulis karangan bertajuk di atas, masa zaman sekolah dulu (dulu-dulu...dah tuanya diri ini.)? Kita semua maklum yang televisyen membawa lebih banyak kesan negatif dari positif. Tetapi berapa ramai di atas kita yang sanggup berpisah dengan peti televisyen itu?

Kita selalu bising bila anak-anak asyik menonton televisyen dan tidak membuat kerja rumah. Dan kita juga akan bising bila anak-anak melewatkan solat kerana sibuk menonton kartun kegemaran mereka. Dan kita akan jadi bertambah bising dan marah, bila anak-anak langsung tidak mendengar kata kerana lebih suka mendengar nyanyian kartun-kartun dalam televisyen itu. Namun, cukupkah sekadar berleter pada anak-anak tanpa berbuat sesuatu terhadap peti televisyen di ruang tamu rumah kita?

Percaya atau tidak, saya telah melakukan sesuatu yang drastik terhadap anak-anak saya dan peti televisyen di rumah saya ini. Sejak bulan Jun yang lalu, anak-anak saya hanya dibenarkan menonton televisyen mulai hari Jumaat malam sehingga hari Ahad petang. Ketika peringkat awal saya dan suami menguatkuasakan undang-undang ini, anak-anak kami (berumur 7, 10 dan 12 tahun) marah-marah, hentak-hentak kaki dan menarik muka masam yang melampau, namun sekarang mereka sudah biasa hidup tanpa dikuasai oleh televisyen. Allah Taala memudahkan lagi urusan kerana saya yakin saya melakukan perkara yang baik...Syukur Alhamdulillah.

Banyak kesan-kesan positif yang saya terima daripada tindakan saya ini. Antaranya:
1. anak-anak saya lebih mudah mendengar kata.
2. jadual mereka selepas pulang dari sekolah lebih terurus.
3. kerja rumah mereka siap tepat pada waktunya.

Pendek kata, saya lebih mudah menguruskan kehidupan mereka tanpa gangguan/tarikan/pengaruh televisyen.

Bagaimana saya mampu melaksanakan undang-undang ini?
Senang sahaja, cabut kad Astro tu dan sorokkan di tempat selamat. Peringkat awal, bersedialah dengan reaksi anak-anak tapi sebagai ibubapa kita harus tegas, tegas dan TEGAS.

Namun ada sesetengah pihak yang kurang setuju dengan tindakan saya ini. Ada yang kata, "kasihan anak-anak tidak dapat tengok TV". Tetapi saya pekakkan telinga. Apa yang penting ialah saya lakukan semua ini untuk kebaikan anak-anak saya. Zalimkah saya??

Friday, July 17, 2009

Wanita Paling Anggun di Dunia

Ini buku kegemaran saya yang penuh dengan motivasi dan kata-kata semangat. Coretan di bawah saya ambil dari buku JANGAN BERSEDIH- JADILAH WANITA YANG PALING BAHAGIA oleh Dr 'Aidh b 'Abdullah Al-Qarni.

Wahai wanita-wanita cantik dan jelita di luar sana, bacalah buku ini untuk mendapat kebahagian dunia dan akhirat...Insya Allah.


"Di setiap tempat, pasti anda temukan kegelapan dalam kehidupan anda.
Kewajipan anda hanyalah menyalakan lampu untuk menerangi anda sendiri."

Anda dengan kecantikan yang anda miliki, ternyata lebih cantik dari matahari. Dengan akhlak anda, anda lebih harum dari minyak wangi. Dengan sikap tawadhu' anda, anda lebih tinggi purnama. Dan dengan cinta anda, anda lebih segar dari rintik gerimis. Oleh kerana itu, peliharalah kecantikan anda dengan keimanan, keredhaan dengan kepuasan dan kehormatan dengan hijab yang menutup aurat.

Ketahuilah bahawa perhiasanmu bukanlah emas atau
perak, tetapi dua raka'at menjelang Subuh, dahagamu di tengah hari yang panas kerana puasa, derma yang tersembunyi yang hanya diketahui oleh Allah, air mata taubat, sujud panjang di atas hamparan sejadah, dan malu kepada Allah kerana terdorong bisikan nista dan ajakan syaitan.

Jadikan taqwa ini bak pakaian anda, nescaya anda akan menjadi wanita yang tercantik di dunia meskipun pakaian bertampal. Jadikanlah rasa malu sebagai baju kurung anda, nescaya anda menjadi wanita yang paling anggun di dunia meskipun anda tidak berkasut. Hindarilah oleh anda rutin hidup seperti yang dilakukan oleh wanita-wanita fasiq dan non muslim yang suka memperlihatkan daya tariknya untuk memikat lawan jenis dan menjadikan tubuhnya sebagai komoditi kaum lelaki tanpa mengendahkan norma-norma susila, kerana sesungguhnya mereka adalah bahan bakar neraka jahanam.









Sunday, July 12, 2009

Kedai Makan Railway Corner

Bila sebut sahaja Tanjung Rambutan terus terlintas di fikiran 'Hospital Bahagia' hospital untuk pesakit mental yang agak terkenal di Malaysia. Tetapi tahukah anda di sini ada satu kedai makan yang terletak di dalam stesyen kereta api? Nama tempat ini Kedai Makan Railway Corner. Mungkin pada sesetengah orang tempat ini biasa saja, tetapi pada saya tempat ini cukup istimewa.

Tempat ini menyimpan sejarahnya sendiri kerana stesyen kereta api ini sudah lama didirikan. Zaman British kot? Struktur bangunan adalah daripada kayu dan mungkin menarik buat pelajar Architecture untuk buat kajian.

Makanan yang disajikan di sini ialah roti canai, nasi lemak, kue teow kari dan lain-lain. Yang seronoknya masa makan boleh tengok keretapi yang lalu. Walaupun sudah berpuluh kali sarapan pagi di sini, saya dan anak-anak masih kagum dan teruja setiap kali keretapi lalu. Excitednya bukan main lagi...maklumlah bukan selalu dapat tengok keretapi. Saya pasti akan merindui tempat ini bila kami pulang ke KL semula hujung tahun ini. Agak-agaknya di KL tu di mana saya boleh dapat sumber inspirasi untuk menulis?

Itu sahaja buat kali ini. Saya sibuk sangat sekarang. Tarikh penyerahan manuskrip novel awal remaja terbaru telah diawalkan. Kena pulun tulis habis-habisan kerana ada projek lebih besar yang sedang menunggu...

Monday, July 6, 2009

Durian kucing duduk???

Semasa saya sedang berseminar ebook di Kuala Lumpur, abah dan emak saya bergegas ke dusun buah-buahan mereka di Hulu Langat, Selangor. Perjalanan dari rumah mereka ke dusun itu jauhlah juga, lebih kurang 70km tetapi memandangkan anak mereka yang merantau ni pulang bercuti sekejap, mereka menguatkan diri merempuh perjalanan yang jauh itu.....

Dengan izin Allah Taala sebaik sahaja ibubapa saya tiba di dusun , gugurlah buah durian kucing duduk ni. Syukur Alhamdulillah, rezeki saya agaknya. Dalam TV pernah disiarkan tentang durian ini, namanya Durian Gergasi (Wow!! Giant!!). Tapi durian ini memang besar. Bentuknya macam buah labu yang besar. Saya belek-belek juga kenapa ia dipanggil kucing duduk. Terfikir juga hendak ambil kucing di rumah mak dan letakkan di sebelah durian itu...untuk buat perbandingan. Tapi kucing itu tak ada di rumah masa itu, pergi 'clubbing' agaknya. Yang pasti durian ini boleh 'duduk' sendiri tanpa bantuan. Berikut adalah gaya-gaya menarik yang sempat diberikan oleh durian itu kepada saya.








Sunday, July 5, 2009

Seminar Ebook BEST...

Saya telah menghadiri Seminar Ebook yang dikelolakan oleh Encik Mohd Suhaimy atau lebih dikenali sebagai Shuth di alam cyber. Seminar diadakan di Quality Hotel Kuala Lumpur. Saya buat pusingan dua kali di Jalan Raja Laut untuk cari hotel ini. Kali kedua pusing, berhenti sekejap tanya En Sapu Sampah di mana Quality Hotel. Terima kasih En Sapu Sampah...kalau dia tak tolong, saya mungkin sampai lewat! Kalau dia tak tolong lagi, Jalan Tuanku Abdul Rahman tu mesti banyak sampah yang tidak dibersihkan.

Memang tak rugi dan amat berbaloi saya menghadiri seminar ini. Hilang penat saya memandu dari Ipoh ke KL. Banyak ilmu yang saya dapat dari Encik Shuth yang tidak kedekut ilmu dan sanggup berkongs
i banyak perkara dengan kami yang hadir. Saya juga dapat beberapa orang kenalan baru iaitu Ila, Su dan Ni'sa. Semuanya adik-adik kat situ...(Argg...I feel so old), well never mind, Ann. People do get old. At least it's better than getting younger and younger. Nanti susah pula. Betul tak?

Dan yang paling BEST,
surprise yang En Shuth janjikan di akhir seminar itu. Pada seseorang yang minat menulis seperti saya surprise yang diberikan umpama pucuk dicita, ulam mendatang. Nak tahu apa surprisenya? Datanglah sendiri ke seminar ebook tu. Klik sebelah ini saja untuk maklumat lanjut.

Wednesday, July 1, 2009

Sebelum dipanggil pulang..


Diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:


Jika manusia mati, maka akan terputus amalnya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak soleh kepadanya.


Kematian pasti akan tiba. Kematian akan menjemput setiap makhluk bernyawa yang menghuni bumi ini. Yang kaya dan berharta serta yang miskin papa kedana pasti akan mati. Walau kita kaya raya dan berharta apabila kita meninggalkan dunia ini cuma ada tiga perkara sahaja yang boleh kita bawa bersama ke alam barzakh iaitu:


sedekah jariah

ilmu yang bermanfaat

doa anak yang soleh


Perbanyakkanlah melakukan ketiga-tiga perkara di atas. Gunakan kesempatan bersedekah ketika Allah Taala melimpahkan rezeki yang tidak putus-putus kepada kita. Jangan lupa akan insan lain yang mungkin tidak semewah kita. Bersedekahlah untuk bekalan di hari akhirat. Ada golongan umat Islam yang sanggup mengeluarkan ratusan ringgit untuk menyaksikan konsert artis pujaan tetapi tatkala diminta bersedekah, tangan itu cukup berat untuk mengeluarkan walaupun sepuluh ringgit. Dan bersedekah tidak semestinya ketika kita mewah sahaja, ketika kesempitan wang pun kita harus bersedekah. Yakinlah, Allah Taala pasti akan melipatkali gandakan rezeki kita setiap kali kita bersedekah.


Setiap ilmu bermanfaat yang kita turunkan kepada sesiapa sahaja dapat membantu kita di alam barzakh nanti. Inilah antara sebab yang kukuh mengapa saya memilih untuk menghasilkan novel remaja berbentuk Islami. Niat saya agar remaja-remaja yang membaca novel saya akan memanfaatkan ilmu yang saya selitkan dalam novel tersebut. Dan perkara ini jugalah yang mendorong saya untuk melibatkan diri dalam bidang penulisan.


Doa anak yang soleh juga dapat membantu kita nanti. Didiklah anak-anak agar sentiasa melaksanakan suruhan Allah Taala dan meninggalkan larangannya. Ajar anak-anak cintakan akhirat dan jangan dedahkan mereka kepada hiburan dunia yang melekakan dan tiada batasan.


Marilah kita bersama-sama berusaha mencukupkan bekalan untuk dibawa pulang ketika Allah Taala menjemput kita pulang semula ke tempat asal...