Tuesday, August 25, 2009

Puasa Sulung

Masih belum terlewat rasanya hendak mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL MUBARAK. Anggaplah Ramadhan kali ini Ramadhan yang terakhir buat kita. Gunakan segala peluang dan kesempatan yang ada untuk beramal ibadat dan mengumpul seberapa banyak pahala yang termampu.

Di atas ini gambar anak bongsu saya. Gambar dirakam beberapa saat sebaik selesai membaca 'doa buka puasa'. Ramadhan tahun ini mencatat sejarah istimewa kerana anak bongsu saya yang berusia enam tahun lapan bulan (tetapi sudah berada di Tahun Satu) mula belajar berpuasa. Beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan, dia sudah tidak sabar untuk berpuasa. Saya tidak pernah memaksa anak-anak saya berpuasa dan Alhamdulillah kesemua anak saya dengan rela hati akan berpuasa dengan sendirinya. Syukur pada Allah kerana memudahkan bab ini dalam proses saya membesarkan anak-anak berlandaskan lunas-lunas Islam.

Kami bangun bersahur lebih kurang pukul 4.45 pagi. Anak saya tidak mahu makan nasi, tetapi cukup setakat makan koko crunch dan susu saja. Ikut sayalah tu..saya pun tak makan nasi semasa bersahur. Saya makan bijirin jagung dan susu saja. Kalau makan nasi, bila siang nanti perut senak. Dan jangan risau, suami saya tak makan bijiran jagung atau koko crunch. Dia makan nasi seperti kebanyakan umat Islam yang lain.

Hari pertama Ramadhan kami pulang ke Lembah Kelang untuk berbuka bersama Abah, Mak, Abang dan Adik-adik. Sepanjang perjalanan, anak saya ni tidur sahaja. Kami bertolak lebih kurang pukul 7.30 pagi kerana saya ada taklimat di Galeri Ilmu, Kota Damansara.

Apabila tengahari, anak saya sudah mula tarik muka lapar dan dahaga. Saya tanya hendak buka atau tidak. Anak saya menggelengkan kepala. Dia meneruskan puasanya dalam keadaan yang lemah lagi lesu. Cuaca yang agak mendung hari pertama berpuasa ini banyak membantu. Jadi anak saya masih boleh bertahan. Apabila kembali ke sekolah nanti, tak tahulah macam mana pula. Mesti penat kerana anak-anak saya bersekolah agama dan kebangsaan. Tetapi tidak mengapa, 'Allah sayang dan nanti dapat pahala banyak'- ini modal saya memujuk anak-anak yang kadang-kala merungut kepenatan.

Lebih kurang pukul 6 petang, suami saya membawa anak-anak saya ke 7-11 berhampiran untuk membeli 'air minuman pilihan mereka'. Mereka tidak ke 'Pasar Ramadhan'. Sebab tidak ke sana ialah yang pertama- mengikut nasihat Kementerian Kesihatan agar elakkan dari berkunjung ke tempat yang sesak dan yang kedua- juadah berbuka puasa selalunya saya masak sendiri bagi mengelakkan keracunan makanan dan menjimatkan belanja. Air minuman berwarna-warni di Pasar Ramadhan pun jika boleh cuba elakkan kerana ini selalunya punca keracunan makanan. Kalau hendak beli pun, pastikan yang menjual itu penjual yang biasa berniaga di pasar malam.

Maka apabila azan berkumandang, berbukalah kami. Anak bongsu saya ini pun berbuka dengan gembira tetapi anak kedua saya pula tiba-tiba muka pucat sebaik sahaja habis minum air. Menggelabah saya dibuatnya. Abang terbaring di kerusi macam hendak pitam. Saya pegang badan dia dan suapkan buah kurma ke dalam mulutnya. Atuk dan nenek dia pun risau juga melihat cucu lelaki ini pucat. Selepas habis sebiji buah kurma, baru anak kedua saya (berusia 10 tahun) ini mula bermaya. Anak sulung saya tiada masalah kerana sudah biasa berpuasa ( berusia 12 tahun. Tahun ini UPSR dan saya yang terlebih risau).

Alhamdullilah saya bersyukur kerana kesemua anak saya berjaya berpuasa di hari pertama Ramadhan. Saya juga bersyukur kerana anak bongsu saya berjaya melengkapkan Puasa Sulungnya di usia yang muda. Ya Allah, terima kasih kerana membantu aku yang serba-serbi kekurangan ini dalam mendidik anak-anak. Selamat Menjalani ibadat berpuasa. Semoga kita semua mendapat keberkatannya. Insya Allah.


1 comment:

  1. Assalamualaikum Ann,

    Selamat berpuasa dan berbuka. Selamat menjalani ibadat di dalam bulan yang mulia ini dengan penuh barakah.

    Nini

    ReplyDelete