Wednesday, August 5, 2009

Zalimkah saya?

Menonton televisyen lebih banyak memberi kesan yang negatif terhadap kanak-kanak. Bincangkan.

Pernah tulis karangan bertajuk di atas, masa zaman sekolah dulu (dulu-dulu...dah tuanya diri ini.)? Kita semua maklum yang televisyen membawa lebih banyak kesan negatif dari positif. Tetapi berapa ramai di atas kita yang sanggup berpisah dengan peti televisyen itu?

Kita selalu bising bila anak-anak asyik menonton televisyen dan tidak membuat kerja rumah. Dan kita juga akan bising bila anak-anak melewatkan solat kerana sibuk menonton kartun kegemaran mereka. Dan kita akan jadi bertambah bising dan marah, bila anak-anak langsung tidak mendengar kata kerana lebih suka mendengar nyanyian kartun-kartun dalam televisyen itu. Namun, cukupkah sekadar berleter pada anak-anak tanpa berbuat sesuatu terhadap peti televisyen di ruang tamu rumah kita?

Percaya atau tidak, saya telah melakukan sesuatu yang drastik terhadap anak-anak saya dan peti televisyen di rumah saya ini. Sejak bulan Jun yang lalu, anak-anak saya hanya dibenarkan menonton televisyen mulai hari Jumaat malam sehingga hari Ahad petang. Ketika peringkat awal saya dan suami menguatkuasakan undang-undang ini, anak-anak kami (berumur 7, 10 dan 12 tahun) marah-marah, hentak-hentak kaki dan menarik muka masam yang melampau, namun sekarang mereka sudah biasa hidup tanpa dikuasai oleh televisyen. Allah Taala memudahkan lagi urusan kerana saya yakin saya melakukan perkara yang baik...Syukur Alhamdulillah.

Banyak kesan-kesan positif yang saya terima daripada tindakan saya ini. Antaranya:
1. anak-anak saya lebih mudah mendengar kata.
2. jadual mereka selepas pulang dari sekolah lebih terurus.
3. kerja rumah mereka siap tepat pada waktunya.

Pendek kata, saya lebih mudah menguruskan kehidupan mereka tanpa gangguan/tarikan/pengaruh televisyen.

Bagaimana saya mampu melaksanakan undang-undang ini?
Senang sahaja, cabut kad Astro tu dan sorokkan di tempat selamat. Peringkat awal, bersedialah dengan reaksi anak-anak tapi sebagai ibubapa kita harus tegas, tegas dan TEGAS.

Namun ada sesetengah pihak yang kurang setuju dengan tindakan saya ini. Ada yang kata, "kasihan anak-anak tidak dapat tengok TV". Tetapi saya pekakkan telinga. Apa yang penting ialah saya lakukan semua ini untuk kebaikan anak-anak saya. Zalimkah saya??

3 comments:

  1. Tidak. Jika membiarkan mereka terus 'hanyut' dan leka dari memfokuskan diri untuk belajar, hah itu barulah zholim!
    Thank you for being the 1st visitor to my recently posted blog! Tak sempat bentang karpet merah, Ann dah sampai!Entri tu saja-saja nak 'test suara'. Akibat penat asyik terkial-kial nak pilih background yang menepati citarasa. Pas tu, fail pulak nak paste! Oleh kerana tangan tak reti duduk diam, taiplah apa yang patut.
    Alhamdulillah, ada yang sudi mampir walau umur blog tu tak sampai sehari pun!
    Terima kasih daun keladi, jika lapang jenguklah ke Nadya's Cottage lagi!
    Nadya berkirim salam. Dia tanya,"Aunty, bila nak sambung Dairi Anessa 2? Bestlah cerita tu!"
    Hah, anak aku bagi semangat tu Ann.
    Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Salam, bagi saya tindakan tersebut tidaklah zalim. Itu tandanya kita begitu prihatin kepada pengurusan masa anak-anak.Anak-anak dicorakkan oleh kita.Islam juga menggalakkan kita memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.Wassalam.

    ReplyDelete
  3. kak an saya dah praktik lebih kurang 3 minggu lpas dengar ceramah agama tentang pengaruh tv n internet.Pekara ni dalam ceramah tu ustaz dah cakap zaman rasul SAW(klu tak salah saya) dah dibincangkan perkara ni.dia cakap lebih kurang macam ni" akan ada sesuatu dari atas rumah setiap umat akan datang, perkara buruk yang akan mempengaruhi mereka" tapi saya tutup tv waktu magrib. Anak2 pun tak tahu apa lg..tp saya percaya melentur buluh biar dari rebungnya

    ReplyDelete